KETUA jurulatih Negeri Sembilan FC (NSFC), K. Devan percaya masih banyak kerja rumah yang perlu dilakukan oleh pasukannya sebelum mengharungi baki saingan peringkat kumpulan Piala Malaysia yang bermula 29 Oktober depan.
Sebagai rekod, skuad Hobin Jang Hobin berjaya mencatat kemenangan 2-1 pada aksi persahabatan menentang skuad bawah 23 tahun (B-23) negara di Arena MBSJ, Subang Jaya kelmarin.
Meskipun melakar keputusan positif, Devan mengakui pasukannya masih belum berada pada tahap memuaskan dan perlu bekerja lebih keras jika berhasrat untuk mara ke peringkat kalah mati Piala Malaysia nanti.
“Selepas aksi terakhir Piala Malaysia menentang Kelantan United, pemain telah diberi cuti selama enam hari dan hanya dikumpulkan semula empat hari sebelum mengharungi aksi persabatan menentang skuad B-23 kali ini.
“Secara keseluruhan, saya masih belum berpuas hati dengan apa yang mereka pamerkan dan harap tempoh dua minggu sebelum saingan Piala Malaysia bersambung semula, kita dapat memperbaiki kelemahan yang ada.
“Mengenai peluang, sudah tentu pasukan kami bukan dilabel sebagai pilihan utama kerana Kumpulan C memiliki dua kelab Liga Super iaitu Kedah Darul Aman (KDA FC) dan Melaka United,” katanya kepada pemberita kelmarin.
Sementara itu, Devan turut mengucapkan selamat maju jaya kepada skuad B-23 negara bimbingan Brad Maloney yang akan berlepas ke Mongolia untuk mengharungi kempen kelayakan Piala Asia B-23 minggu depan.
“Secara jujur, saya lihat skuad B-23 negara ada potensi yang besar tetapi masih ada beberapa kelemahan yang perlu diperbaiki khususnya aspek pertahanan kerana masih belum jitu berbanding jentera tengah dan posisi serangan,” katanya.