PUTRAJAYA – Kementerian Luar Negeri menggesa kerajaan Sudan agar menghormati Perjanjian Promosi dan Perlindungan Pelaburan Dua Hala yang berkuat kuasa antara Malaysia dan negara tersebut.
Ia susulan tindakan negara tersebut merampas aset Petronas di Kompleks Petronas di Khartoum, bahkan turut dilaporkan mengeluarkan waran tangkap terhadap pengurus negara Petronas di Sudan.
Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, memandangkan Kompleks tersebut menempatkan Kedutaan Besar Malaysia, Kerajaan Sudan juga digesa untuk menghormati status Kedutaan Besar kita sebagai sebuah entiti diplomatik, sebagaimana yang termaktub dalam Konvensyen Vienna mengenai Hubungan Diplomatik 1961.
“Walaupun proses timbang tara yang diaktifkan oleh Petronas telah bermula, kementerian berharap agar isu ini dapat diselesaikan secara baik dalam masa terdekat demi memelihara hubungan akrab yang sedia terjalin antara Malaysia dan Sudan.
“Kementerian juga ingin memaklumkan bahawa semua rakyat Malaysia yang bermastautin di Sudan serta berdaftar dengan Kedutaan Besar kita, berada dalam keadaan selamat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, sejak tercetusnya isu itu pada Disember 2020, Kementerian Luar Negeri telah bekerjasama rapat dengan Petronas termasuk melalui Kedutaan Besar Malaysia di Khartoum bagi menangani isu tersebut.
“Setakat ini, kementerian telah melaksanakan beberapa usaha diplomatik, termasuk memanggil Kuasa Usaha Sudan di Kuala Lumpur (buat kali keduanya) ke Wisma Putra pagi ini bagi menyampaikan kebimbangan Malaysia.
“Kementerian akan terus memantau rapat perkembangan isu ini dengan dalam memelihara kepentingan Malaysia di Sudan,” katanya. – K! ONLINE