KUANTAN – Golongan pendidik di negeri ini diberi tempoh sehingga 1 November depan untuk mengambil vaksin sebelum Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Pahang memutuskan tindakan seterusnya bergantung keputusan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).
Pengarah Pendidikan negeri, Mohammad Rosli Abdul Rahman berkata, setakat ini program vaksinasi dalam kalangan guru di Pahang sudah mencapai 98.38 peratus membabitkan sekolah rendah dan menengah.
“Terdapat 301 orang guru masih belum menerima vaksin di negeri ini, jadi kita akan beri masa sampai 1 November baru boleh pastikan sama ada mereka itu diangap sebagai menolak vaksin dan sebagainya.
“Buat masa ini kita masih bagi ruang untuk mereka mengambil vaksin mengikut arahan daripada kementerian dan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA),”katanya dalam sidang akhbar selepas mesyuarat permuafakatan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Jabatan Pendidikan Negeri Pahang (JPNP) siri dua di Ibu Pejabat polis Kontinjen (IPK) Pahang, di sini, hari ini.
Mesyuarat tersebut dihadiri Timbalan Ketua Polis Pahang, Datuk Mohd. Yusri Hassan Basri dan pegawai kanan kedua-dua jabatan.
Ketika diminta mengulas mengenai tindakan yang bakal dikenakan kepada guru yang menolak vaksin selepas tempoh berkenaan, Mohammad Rosli berkata, pihaknya masih menunggu pekeliling dikeluarkan JPA mengenai perkara itu.
“Buat masa ini baru ada satu kenyataan tetapi belum ada pekeliling yang tepat tentang ini, kalau pekeliling itu ada nanti kita akan ikut arahan daripada JPA seperti mana penjawat awam lain,”katanya. – K! ONLINE.