PETALING JAYA – Rumahtangga pelakon Siti Saleha dikatakan berdepan masalah selepas pelakon itu hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Klang, Selangor pagi tadi bagi sebutan kes perceraiannya.
Menurut laporan media, prosiding yang dilakukan di hadapan Hakim Syarie, Mohd. Hairuddin Ab. Rahim itu berlangsung kira-kira pukul 10 pagi dan turut dihadiri suami, Ahmad Lutfi Azhar, 35.
Berita tersebut mengejutkan ramai pihak kerana Siti Saleha atau nama lengkapnya, Siti Saleha Mohd. Baharum jarang mencanang kisah peribadi terutama berkenaan perkahwinan dengan suaminya yang sebelum ini pernah berkhidmat di Jabatan Perdana Menteri itu.
Bagaimanapun, sebelum ini, pelakon drama rantaian 7 Hari Mencintaiku itu sering diasak persoalan daripada peminat apabila jarang berkongsi foto atau momen bersama suaminya dalam media sosial.
Kali terakhir Siti Saleha, 31, berkongsi gambar mesra bersama suami adalah pada 24 Mac tahun ini bersempena hari ulang tahun kelahirannya yang ke-35.
“It’s your birthday bubbaboo. Saya berdoa agar Allah sentiasa memberkati anda dan kabulkan semua yang anda mahukan. Saya terlalu sayangkan anda,” tulisnya dalam bahasa Inggeris.
Siti Saleha dan Ahmad Lutfi mendirikan rumah tangga pada 28 Julai 2017 dan masih belum dikurniakan rezeki menimang cahaya mata.
Usaha Kosmo! Online untuk mendapatkan penjelasan lanjut daripada aktres jelita itu masih menemui jalan buntu apabila panggilan telefon dan pesanan mesej belum berbalas. – K! ONLINE