PETALING JAYA – Pelakon Yatt Hamzah berdepan situasi cemas apabila seorang anaknya, Suci Hayfaa Medina yang kini berusia tiga tahun mengalami kecederaan pada kepala akibat terjatuh.
Menerusi hantaran yang dimuat naik dalam Instagram miliknya, Yatt atau nama lengkapnya Haryati Hamzah, 40, telah berkongsi beberapa keping foto menunjukkan kepala anak ketiganya itu terbelah dan berdarah.
“Baru nak makan malam, terus terbantut bila Iqlima (anak keduanya) menjerit kuat menangis-nangis, beritahu adiknya, Medina jatuh dan berdarah dengan banyak di dahi.
“Beginilah gelagat anak-anak bonda terutamanya Medina. Memang sedang buas. Ada sahaja aktivitinya. Benda dah nak jadi,” tulis Yatt.
Dalam pada itu, pelakon yang pernah membintangi drama Dunia Baru itu turut memohon doa daripada pengikutnya dalam Instagram supaya anaknya segera sembuh.
“Mohon semua doakan Medina lekas sembuh. Insya-Allah, dia kuat. Sekejap lagi dia gelak baliklah,” katanya.
Menjengah dalam ruangan komen, kejadian yang dikongsikan Yatt turut mendapat perhatian dalam kalangan rakan-rakan artis apabila turut mendoakan kesembuhan anaknya itu.
“Ya Allah. Syafakillah Medina moga cepat sembuh,” kata penyanyi dan jugak aktivis kemanusiaan, Heliza Helmi.
“Ya Allah. Semoga cepat baik,” komen pengacara dan penyampai radio, Ahmad Fedtri Yahya.
“Allahuakbar anak. Cepat sihat ya. Anak-anak nak membesar beginilah bonda,” kata pelakon Datin Almy Nadia.
Sekadar info, Yatt yang mendirikan rumah tangga dengan Mohamad Zulfahdli Khairuddin pada Februari 2016 dikurniakan empat cahaya mata iaitu Suci Humaira Iqima, 5, Suci Hayfa Medina, 3, Suci Hawa Zulaikha, 1 dan Sayf Mohammed Zubayr yang kini berusia empat bulan.
Yatt turut mempunyai seorang anak, Suci Hanania Malika, 9, hasil perkahwinan pertamanya dengan Abdul Mutalib Shukor. – K! ONLINE