DENGKIL – Dewan Orang Ramai yang kini siap dibina sepenuhnya dalam tempoh 30 hari di bawah Projek Jiwa Murni (PJM), Tentera Darat Malaysia bakal memberi manfaat kepada kira-kira 10,000 penduduk sekitar Kampung Limau Manis.
Program di bawah PJM sempena Hari Ulangtahun Tentera Darat ke-88 membabitkan seorang pegawai dan 32 anggota dari pasukan 2 Skuadron Rejimen Askar Jurutera Diraja (RAJD) Taiping, Perak.
Panglima 4 Divisyen Kem Wardieburn Setapak Kuala Lumpur, Mejar Jeneral Datuk Ya’cob Samiran berkata, pelaksanaan PJM dibawah pemantauan Pegawai Pemerintah, Mejar Muhammad Hasrul Yusoff dengan dibantu oleh pasukan di bawah naungan 11 Bridged, Kem Sungai Buloh, Selangor.
“PJM dilancarkan Panglima Tentera Darat, Jeneral Tan Sri Zamrose Mohd. Zain pada 1 Februari lalu dengan misi utama merealisasikan Tonggqk Ke-5 Perintah Ulung PTD ke-28 iaitu peningkatan hubungan tentera darat dengan awal.
“Pasukan ini mengambil masa selama 30 hari untuk menyiapkan kerja-kerja senggaraan dan membaik pulih dewan bermula 1 September lalu dan siap sepenuhnya 30 September lalu,” katanya pada majlis penyerahan PJM Dewan Orang Ramai Kampung Limau Manis di sini hari ini.
Ya’cob berkata, pihaknya juga turut melaksanakan projek baik pulih lima buah rumah veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang tidak berpencen.
“Tiga buah rumah di Tanjung Karang sudah siap sepenuhnya manakala dua lagi di Sabak Bernam siap penghujung bulan ini dan ATM telah memperuntukkan RM10 ribu bagi setiap buah rumah dalam usaha menghargai jasa-jasa warga ATM,” katanya. – K! ONLINE