SEJAK sekian lama diangkat sebagai raja buah, malah durian merupakan buah yang cukup terkenal terutama di kawasan Asia Tenggara dan mempunyai penggemar tegar tersendiri.
Isi durian sentiasa menjadi buruan ramai kerana rasanya yang enak, manakala kulitnya pula akan menjadi sisa buangan.
Kini, kulit durian bukan lagi menjadi bahan buangan kerana sekumpulan penyelidik daripada Universiti Teknologi Nanyang (NTU), Singapura berjaya mengubahnya menjadi pembalut gel antibakteria.
Melalui inovasi itu, kulit durian kini mempunyai manfaat dan nilai tambah tersendiri.
Agensi berita CNS melaporkan, Pengarah Program Sains dan Teknologi Makanan di NTU, Prof. William Chen berkata, mengembangkan fungsi kulit durian menjadi pembalut gel antibakteria adalah sejajar dengan hasrat Singapura ke arah sifar sampah.
“Sebanyak 12 juta buah durian dimakan setiap tahun. Namun, kebanyakan kulitnya dibuang begitu sahaja.
“Kulit durian biasanya dibuang atau dibakar dan ini menimbulkan masalah kepada alam sekitar di sesuatu kawasan,” katanya.
Dengan inovasi terkini itu, sekurang- kurangnya masalah berkenaan mendapat jalan penyelesaian.
Pembalut gel antibakteria yang dihasilkan daripada kulit durian itu boleh terbiodegrasi dan tidak beracun.
Selain itu, ia mempunyai kesan persekitaran lebih kecil berbanding pembalut sintetik konvensional lain.
Bagi menghasilkan pembalut gel antibakteria itu, Prof. William dan pasukan menghasilkannya dengan mengeluarkan selulosa berkualiti tinggi daripada kulit durian.
Mereka mengubah kulit durian menjadi serbuk selulosa melalui kaedah penghirisan, pengeringan beku dan ball milling sebelum menghilangkan kekotoran.
“Kaedah ini dapat mengurangkan kos yang ketara jika dibandingkan dengan kaedah tradisional menggunakan enzim,” jelasnya.
Kos untuk kaedah tradisional adalah berharga sekitar S$27,000 (RM83,225) untuk per kilogram (kg).
Sementara kaedah yang digunakan oleh William hanya memakan kos sekitar S$120 (RM369) per kg untuk mengekstrak jumlah selulosa sama.
Setelah mengekstrak selulosa, para penyelidik menggabungkan ekstrak dengan gliserol iaitu produk sampingan sisa daripada industri biodiesel dan sabun untuk menghasilkan gel lembut.
Gel yang terhasil itu serupa dengan kepingan silikon dan dapat dipotong menjadi pembalut dengan berbagai bentuk dan saiz.
Penyelidik kemudian menambahkan molekul organik yang dihasilkan daripada ragi roti untuk mematikan bakteria pada pembalut berkenaan.
Dalam pada itu, Prof. William juga menganggarkan, dia dapat mengeluarkan 200 gram serbuk selulosa daripada kulit durian seberat 3kg, yang mana 40 gram adalah selulosa tulen.
Dengan jumlah 40 gram selulosa tulen itu, ia sudah mencukupi untuk membuat 66 keping hidrogel berukuran 7 sentimeter (sm) x 7 sm. Bahan itu juga kemudian cukup untuk menghasilkan sekitar 1,600 keping pembalut berukuran 1 sm x 2 sm setiap satu.
Dalam pada itu, beliau menjelaskan, dia memilih durian kerana bekalannya sentiasa ada dan mempunyai kandungan serat yang tinggi.
“Durian bukan satu-satunya pilihan yang memungkinkan untuk menghasilkan pembalut ini.
“Ini adalah teknologi platform dan kaedah pengekstrakan selulosa juga dapat dihasilkan daripada bahan lain,” jelasnya.
Sementara itu, Prof. William berkata, tambalan hidrogel konvensional di pasaran terhasil daripada bahan sintetik.
Ia mempunyai sifat antimikroba menggunakan sebatian logam seperti ion perak atau tembaga.
Bahan-bahan ini menjadikan tambalan hidrogel konvensional lebih mahal daripada yang diperbuat daripada bahan buangan semula jadi.
“Rintangan yang dihadapi untuk penyelidikan universiti ke pasaran adalah dari segi pengurangan kos.
“Jadi, ini penting dalam memastikan prosesnya mudah, murah dan baik untuk alam sekitar,” ujarnya.
Kulit durian mempunyai kos yang rendah untuk kaedah pengekstrakan menggunakan bahan yang mudah dan mesra alam.
Projek ini dapat ditingkatkan untuk pengeluaran lebih efisien.
“Walaupun pada masa ini, kajian ini hanya bukti kepada konsep, tetapi jika selulosa dapat diekstrak dengan baik dan menjimatkan kos, akan ada potensi besar untuk menghasilkan hidrogel daripada kulit durian.
“Ini bagi menggantikan hidrogel yang sedia ada di pasaran pada masa kini,” katanya.