SEREMBAN – Tempahan hotel di Port Dickson dijangka mencapai 100 peratus penuh pada hujung minggu ini dengan kehadiran pelancong dari luar Negeri Sembilan selepas aktiviti rentas negeri dibenarkan bermula Isnin lalu.
Pengerusi Persatuan Hotel-Hotel (MAH) Negeri Sembilan, Haziz Hassan berkata, jangkaan itu dibuat berdasarkan jumlah tempahan yang diterima membabitkan 35 hotel yang berdaftar di bawah MAH.
“Selepas Negeri Sembilan beralih ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) pada 26 Ogos lalu, tempahan hotel meningkat antara 50 hingga 60 peratus daripada pelancong dalam negeri.
“Selepas kerajaan mengumumkan kebenaran rentas negeri pihak hotel juga tidak henti-henti menerima panggilan telefon dan emel daripada pelanggan yang ingin menempah hotel pada hujung minggu ini ,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Jelas Haziz, pihaknya hanya menerima tempahan daripada pelanggan yang sudah lengkap dua dos vaksin Covid-19 selain sentiasa mengutamakan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan.
“Bagi yang belum lengkap vaksin, kami terpaksa menolak (tempahan hotel) demi keselamatan dan kebaikan semua pihak.
“Lengkap sahaja dua dos kami mengalu-alukan kedatangan anda di hotel-hotel kami di Port Dickson,” katanya.
Semalam Kosmo! melaporkan, dijangka 30,000 pengunjung akan membanjiri pantai-pantai di Port Dickson hujung minggu selepas kerajaan membenarkan aktiviti rentas negeri bermula 11 Oktober lalu. – K! ONLINE