fbpx

Bendera lambang kedaulatan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar Hiasan.

 

SHARKAWI LONDING WAKIL KOSMO! JOHOR

 

LIMA hari lagi negara akan menyambut ulang tahun Hari Kebangsaan ke-63 tahun dengan tema Malaysia Prihatin.

Ironinya, bermula daripada peringkat prasekolah sehinggalah ke peringkat tertinggi Kerajaan Persekutuan, pelbagai persiapan telah dirancang termasuk mencipta, memasang serta me­ngibarkan Jalur Gemilang.

Semuanya mahu menterjemahkan semangat cintakan tanah air selepas negara bebas daripada cengkaman penjajah sejak Tanah Melayu mencapai kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

Namun, ada segelintir rakyat yang menikmati hidup dalam suasana aman dan damai, malah mencari rezeki demi sesuap nasi untuk keluarga di bumi bertuah ini dilihat seolah-olah buta kayu bertindak mengibarkan Jalur Gemilang secara terbalik.

Pada 18 Ogos lalu, media me­laporkan seorang pengusaha kedai makan ditahan polis selepas disyaki memasang Jalur Gemilang secara terbalik di sebuah kedai makan di Jalan Lee Ah Leng, Taman Nasib, Kluang, Johor.

Sebelum itu juga, pada 11 Ogos lalu polis menahan empat individu termasuk seorang pengurus berusia antara 23 hingga 56 tahun selepas disyaki memasang bendera Malaysia dan Johor secara terbalik di sebuah kilang perabot di Kawasan Perindus­trian Tebrau, Johor Bahru.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, semua suspek ditahan untuk diambil keterangan dan disiasat mengikut Seksyen 504 Kanun Keseksaan yang jika sabit ke­salahan boleh dikenakan penjara selama tempoh dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Selain itu, Ayob Khan berkata, mereka turut disiasat mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 yang jika disabitkan kesalahan boleh dikenakan denda tidak melebihi RM100.

“Kita tidak akan terima sebarang alasan dan akan tahan bukan hanya yang memasangnya tapi pemilik premis sekali.

“Rakyat Malaysia yang sudah merdeka 63 tahun, namun masih lagi memasang Jalur Gemilang terbalik. Tidak ada tolak ansur, selepas ini kalau ada lagi, kita (polis) tahan semua yang bertanggungjawab,” katanya.

Hakikatnya, tindakan tegas harus dikenakan ke atas mereka yang menderhaka biarpun pelbagai alasan diberikan antaranya tersalah pasang dan yang pasang bendera adalah warga asing.

Alasan defensif ini sama sekali tidak boleh diterima kerana negara sudah merdeka 63 tahun.

Sementara itu, bekas penaik bendera Malaysia ketika tanggal 31 Ogos 1957, Leftenan Komander (B) Mohamed Sharif Kalam berkata, segelintir masyarakat tidak faham sejarah serta kurang memahami kepentingan Jalur Gemilang sehingga sanggup menghina bendera negara.

Menurutnya, mereka sanggup bertindak membatasi kedaulatan negara dengan mengibarkannya secara terbalik sama ada tanda protes atau sebaliknya.

Mohamed Sharif berkata, keadaan itu bukan sahaja berlaku melibatkan generasi baharu, tetapi turut dilakukan oleh ge­nerasi lampau.

“Kita hendak marah pun tidak boleh, kalau kita lihat sendiri di bangunan-bangunan termasuk di premis kerajaan, anda boleh tengok sendiri bendera dibiarkan koyak rabak.

“Mungkin dipasang pada 1 Januari lalu, sampai sekarang tidak ditukarkan. Jika dipasang sekalipun, bukan dilakukan oleh pegawai atau kakitangan, tetapi pengawal keselamatan yang bukan rakyat Malaysia.

“Macam mana kita nak tunjuk teladan kepada generasi muda,” tegasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI