MANCHESTER – Manchester United berdepan kemungkinan kehilangan dua pemain tonggaknya di benteng pertahanan ketika dijadual bertemu Leicester City pada aksi Liga Perdana Inggeris hujung minggu ini.
Ketua pasukan, Harry Maguire tersisih daripada pasukan ekoran kecederaan betis yang dialami ketika tewas kepada Aston Villa menyebabkan dia terlepas aksi menentang Villareal dan Everton sebelum ini.
Terbaharu, mereka berdepan kehilangan Raphael Varane yang berdepan masalah kecederaan apabila terpaksa dikeluarkan sebelum babak pertama berakhir ketika Perancis menentang Sepanyol pada aksi final Liga Negara-Negara Eropah Isnin lalu.
Situasi itu mungkin memaksa pengurus mereka, Ole Gunnar Solskjaer membuat percaturan lain termasuk menurunkan pasangan Victor Lindelof dan Eric Bailly selain meletakkan Phil Jones yang semakin cergas di bangku simpanan.
Selain itu, mereka juga mempunyai pilihan untuk menurunkan pemain pertahanan muda, Teden Mengi yang berjaya mempamerkan aksi terbaik ketika dipinjamkan ke Derby County sebelum ini.
Solskjaer juga mempunyai pilihan dengan mengubah formasi pasukan dengan meletakkan tiga pemain pertahanan iaitu Bailly, Lindelof dan Luke Shaw, namun menggunakan Alex Telles dan Aaron Wan-Bissaka sebagai pemain sayap bertahan. – AGENSI