MILAN – Pemain tengah Belgium, Kevin De Bruyne mengakui pasukan itu tidak mempunyai pemain yang benar-benar mampu memberikan kejuaraan kepada pasukan itu biarpun mereka digelar ‘generasi emas’.
Menurutnya, 22 pemain yang dimiliki oleh Belgium tidak seperti apa yang dimiliki oleh Itali, Perancis dan Sepanyol walaupun mereka ketika ini menghuni kedudukan pertama dalam ranking Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA).
The Red Devils terus kempunan untuk menjulang kejuaraan antarabangsa apabila tewas 2-3 kepada Perancis pada aksi separuh akhir Liga Negara-Negara Eropah biarpun mendahului dengan dua gol serta tewas sekali lagi dengan keputusan 1-2 kepada Itali pada penentuan tempat ketiga Ahad lalu.
Keputusan itu menyaksikan Belgium buat kali pertama sejak 2016 tewas dua kali berturut-turut dalam perlawanan yang mereka sertai.
“Adakalanya kami berjaya mempamerkan aksi cemerlang menentang pasukan-pasukan hebat dan kami juga mempunyai muka-muka baharu yang berjaya memberikan aksi terbaik.
“Ia adalah pengalaman yang baik untuk mereka apabila mendapat peluang menentang pasukan-pasukan yang hebat tetapi malangnya kami tewas dua kali,” katanya.
Aksi kurang sempurna yang dipamerkan mereka dalam dua perlawanan berkenaan menyebabkan De Bruyne meragui sistem pengiraan mata yang dilakukan oleh FIFA sehingga membolehkan mereka berada di kedudukan teratas ketika ini.
“Secara jujurnya, kami hanyalah generasi baharu bola sepak Belgium. Itali, Perancis dan Sepanyol sentiasa mempunyai 22 pemain hebat yang mudah untuk mereka pilih tetapi kami tidak,” katanya. – AGENSI