fbpx

Demi konsert, Misha tangguh tambah zuriat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MISHA OMAR

PETALING JAYA – Demi kecintaan terhadap nyanyian, penyanyi popular Misha Omar sanggup menangguh buat seketika perancangannya untuk hamil anak kedua.

Penyanyi kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu berkata dia terpaksa melupakan seketika niat untuk menambah cahaya mata bagi merealisasikan impiannya untuk menjayakan konsert solo Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) bersama Misha Omar yang bakal berlangsung pada 30 Oktober depan.

“Saya tangguh sebentar menjalani rawatan kesuburan demi rasa cinta menggunung untuk konsert ini yang juga merupakan salah satu impian saya sebagai anak seni.

“Nasib baik doktor juga tidak menghalang perkara ini. Insya-Allah jika ada rezeki untuk mendapatkan zuriat, pasti Tuhan akan permudahkannya,” kata Misha yang memberitahu OSK merupakan konsert terakhir sebelum dia menyambung semula usaha #menjejakkhadeja.

Misha atau nama sebenarnya Samihah @ Aisah Omar, 40, berkata demikian pada sidang akhbar OSK bersama Misha Omar di Istana Budaya, Kuala Lumpur hari ini.

Tambah pelantun lagu Sampai Bila itu, dia juga khuatir mengalami alahan teruk sekiranya disahkan hamil jika dia meneruskan sesi rawatan kesuburan.

“Saya tak mahu kerana hamil, reputasi sebagai penyanyi rosak, sekali gus menghampakan hati para peminat yang sudah lama menanti ‘hadiah’ istimewa daripada saya.

“Ini pengorbanan yang saya lakukan demi cinta saya terhadap nyanyian. Tak apa, anak boleh tunggu, ‘tunggu ibu ya sayang’,” katanya lagi.

Terdahulu, selepas lima tahun menimang cahaya mata sulung, Misha atau mesra disapa Kak Mitch pernah mendedahkan dia kini sedang menjalani rawatan kesuburan di sebuah pusat perubatan dalam usaha untuk mendapatkan cahaya mata kedua.

Sebagai ikhtiar, Misha sudah menjalani ujian hormon Anti-Mulleroian (AMH) menerusi pengambilan darah untuk mengetahui tahap kesuburan.

Dalam pada itu, dia yang terkenal menerusi lagu Bunga Bunga Cinta itu turut menjelaskan bahawa dia telah mencipta tanda pagar #menjejakkhadeja sebagai pembakar semangat untuk dia dikurniakan seorang cahaya mata perempuan.

Untuk rekod, Misha mendirikan rumah tangga bersama juruterbang, Firros Ezzwan Rosly pada 2 Mei 2014 dan dikurniakan seorang cahaya mata lelaki, Muhammad Idris Ezzwa yang kini berusia lima tahun.

Misha turut memiliki seorang anak angkat lelaki bernama Muhammad Adam Emir yang kini telah berusia 15 tahun. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI