fbpx

Kuota penonton ke stadium ikut fasa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AB. GHANI menyambut baik langkah kerajaan membenarkan semula penyokong hadir ke stadium sekali gus mampu melonjakkan industri bola sepak negara selepas terjejas akibat Covid-19.

MALAYSIAN Football League (MFL) menyambut baik keputusan pihak kerajaan untuk membenarkan penyokong kembali ke stadium bagi menyaksikan perlawanan Piala Malaysia 2021 de­ngan prosedur operasi standard (SOP) yang sudah ditetapkan.

Kerajaan menerusi Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sudah menetapkan jumlah penonton yang dibenarkan masuk adalah mengikut fasa.

Bagi negeri yang berada dalam Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara dibenarkan 20 peratus atau 5,000 penonton, diikuti Fasa 3 (30 peratus atau 10,000 penonton), manakala Fasa 4 (50 peratus atau 20,000 penonton) berdasarkan kapasiti venue yang digunakan pada hari pertandingan.

“MFL merakamkan ucapan penghargaan kepada pihak kerajaan khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang sebelum ini mengumumkan kebenaran kehadiran penonton atau penyokong ke tempat perlawanan sukan dan rekreasi di ne­geri Fasa 2, Fasa 3 dan Fasa 4.

“Apa yang pasti, ia menjadi satu langkah terbaik bagi melon­jakkan industri bola sepak negara, apatah lagi kita sedang meraikan ulang tahun ke-100 Piala Malaysia selepas kejohanan dibatalkan akibat pandemik Co­vid-19 tahun lalu,” kata Presiden MFL, Datuk Ab. Ghani Hassan.

Pada masa sama, beliau juga menggesa semua penyokong ke stadium mematuhi SOP selain menjelaskan, hanya individu lengkap vaksinasi dibenarkan hadir menyaksikan perlawanan.

“MFL memberikan kebenaran kepada kelab untuk mengikut kuota penyokong yang ditetapkan atau mengurangkan jumlah kemasukan penonton berdasarkan kemampuan kelab dari segi pengurusan petugas stadium dan pasukan keselamatan pada hari perlawanan.

“Paling penting, hanya penyokong yang sudah lengkap divaksin boleh masuk ke stadium dan wajib memakai pelitup muka sepanjang perlawanan selain tiada aktiviti makan minum sepanjang berada di stadium. Kanak-kanak bawah umur 18 tahun juga tidak dibenarkan berada di stadium,” ujarnya.

Sementara itu, Ab. Ghani memberitahu, penyokong juga dibenarkan untuk datang ke stadium bagi menyaksikan perlawanan sekiranya ada mana-mana kelab yang mengadakan aksi persahabatan sepanjang tempoh rehat antarabangsa.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI