SHAH ALAM – Dua individu diberkas bagi membantu siasatan kes ugutan jenayah melibatkan seorang pegawai kanan polis berpangkat Deputi Superintendan (DSP).
Ketua Polis Selangor, Datuk Arjunaidi Mohamed berkata, pihaknya menerima satu laporan polis mengenai kejadian berkenaan yang tular di media sosial.
“Dalam kejadian itu, mangsa merupakan seorang wanita berusia 36 tahun yang mendakwa diugut dan dicederakan.
“Mangsa dikatakan ingin meminta semula wang yang sudah dipinjamkan kepada pegawai kanan polis berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Jelas beliau, hasil siasatan kemudian membawa kepada penahanan dua individu yang disyaki terlibat dalam kes itu.
“Polis sudah membuka dua kertas siasatan mengenai kejadian tersebut dan kes diklasifikasikan mengikut Seksyen 323 dan 506 Kanun Keseksaan,” ujarnya.
Sehubungan itu, Arjunaidi menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi dan berhenti menyebarkannya media sosial kerana kes berkenaan masih dalam siasatan. – K! ONLINE