SIPITANG – Seorang lelaki maut selepas kereta dinaiki bersama dua rakan terbabas sebelum terjunam ke dalam longkang di Jalan Desa Lukutan, Merintaman malam tadi.
Dalam kejadian sekitar pukul 10.45 malam itu, mangsa yang maut di lokasi kejadian dikenali sebagai Kedshon Kensius, 18, manakala dua lagi mangsa berusia 20-an dilaporkan cedera namun berada dalam keadaan stabil.
Difahamkan, kereta Proton Wira yang dinaiki ketiga-tiga mangsa bergerak dari arah pekan Sipitang menuju ke SFI namun kenderaan mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke dalam longkang sedalam tiga meter di kiri jalan raya terbabit.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 10.53 malam.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, kita mendapati memang terdapat kenderaan berada di dalam longkang dan ada mangsa yang terperangkap di dalam kereta berkenaan.
“Kerja-kerja mengeluarkan mangsa terperangkap kemudiannya dilaksanakan dengan kadar segera,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Mengulas lanjut, Jurucakap PGO menyatakan dua mangsa yang cedera dihantar ke Hospital Sipitang untuk mendapatkan rawatan lanjut manakala mangsa yang maut diserahkan kepada polis untuk tindakan susulan sebaik semua mangsa berjaya dikeluarkan. – K! ONLINE