fbpx

Firdaus Gufran tumpang populariti pelakon senior

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
FIRDAUS GUFRAN

MEWARNAI dunia glamor amnya dalam bidang lakonan dan pengiklanan seawal usia enam tahun bukan satu jangka masa yang singkat buat eseorang.

Setiap langkah yang diatur bagi membina nama tanpa pernah wujud rasa jemu apatah lagi lelah dalam jiwa kini terbalas dan mampu dibanggakan pemilik nama pentas Firdaus Ghufran.

Minatnya dalam arena lakonan tidak pernah terhenti, malah semakin cukup menebal seiring dengan usianya yang kini mencecah usia 19 tahun.

Paling memberi kesan dan meninggalkan impak tersendiri buat dirinya sebagai pelakon ketika drama yang dibintanginya tahun lalu, Budak Tebing mencipta fenomena.

Dalam naskhah arahan pengarah Feroz Kadir tersebut, bakat semula jadi yang dipersembahkan Firdaus mula menjadi perhatian, bualan, pujian ramai.

“Alhamdulillah, saya sendiri tak pernah sangka drama Budak Tebing diterima dan hangat diperkatakan ramai.

“Kalau diikutkan, ramai pelakon berbakat dan hebat dalam naskhah tersebut. Siapa tak kenal dengan Aedy Ashraf, Adam Lee, Syazwan Zulkifly dan Eyka Farhana.

“Saya ini menumpang tempias populariti mereka sahaja. Tapi alhamdulillah, itu juga satu kebanggaan buat saya sebagai pelakon,” katanya membuka bicara kepada HibGlam.

Menerusi temu bual secara audio dalam aplikasi WhatsApp tempoh hari, anak muda yang selesa dengan panggilan Fir itu menyifatkan drama berkenaan secara tidak langsung membuatkan namanya melonjak dan memperkenalkan dirinya kepada umum.

BAB hati dan perasaan, pemuja penyanyi Barat terkenal, Celine Dion itu menyifatkan belum tiba masanya untuk dia dilamun cinta selain meletakkan kerjaya sebagai keutamaan.

Cabang lain

Meneruskan perbualan, anak kedua daripada tiga beradik itu berkata, banyak lagi ilmu dan perkara yang perlu dipelajarinya untuk bergelar seorang anak seni hebat satu hari nanti.

“Banyak lagi perkara perlu saya belajar dan gali. Walaupun bukanlah kategori pendatang baharu, tapi saya tetap merasakan masih banyak lagi kekurangan dalam diri.

“Saya perlu gilap bakat lakonan demi menerokai dunia yang saya cintai ini dengan lebih mendalam. Saya perlu kembangkan dan bawa pelbagai karakter selepas ini.

“Bukan setakat lakonan, pada masa sama saya juga sedang berjinak-jinak dalam dunia pengarahan menerusi beberapa kandungan yang saya arahkan sendiri selepas ini,” katanya.

Bagi pemilik nama lengkap Muhammad Firdaus Ghani Ghufran itu lagi, tidak salah untuk dia mengembangkan minat seni yang ada dalam diri asalkan bijak membahagikan masa.

Tambahnya, dia juga minat dalam penulisan dan proses menghasilkan skrip bagi sesebuah naskhah tidak kira drama mahupun filem pendek.

FIRDAUS bangga nama dan bakatnya pernah terukir di negara seberang walaupun mengakui masih hijau serta banyak kekurangan dalam lakonan.

Negara seberang

Mungkin ramai tidak tahu, selain pernah berlakon dalam naskhah tempatan, anak jati kelahiran Kuala Lumpur itu juga pernah mengukir nama di negara sebarang, Indonesia sebelum ini.

Cerita Firdaus, dia bertuah kerana bakatnya tidak hanya diterima di tanah air sendiri, malah turut mendapat tempat dan dihargai negara luar.

Baginya, walaupun masih muda, peluang keemasan yang jatuh ke riba tidak harus disia-siakan begitu sahaja dalam terus mengintai ruang dan peluang sekali gus mengukuhkan namanya.

“Walau hanya sebagai pelakon pembantu untuk sebuah filem, pengalaman berharga itu diharap dapat membuka lebih banyak ruang dan peluang untuk lakonan saya pada hari mendatang.

“Peluang tersebut merupakan satu anugerah sangat bermakna dan tidak mungkin dilupakan. Saya sifatkan ini sebagai batu loncatan untuk menonjolkan dan berkongsi bakat yang dipinjamkan,” katanya.

Akuinya, cubaan menembusi pasaran Indonesia bukanlah suatu yang mudah dan tidak semua orang dapat merasai peluang tersebut.

JANJI Firdaus, dia tidak akan sesekali melafazkan istilah jemu selagi masih bernafas dalam kanvas seni yang dicintai.

Lega

Ditebak mengenai perkembangan terkini kariernya pada waktu negara sedang dibadai pandemik maut bernama Covid-19, Firdaus memberitahu dia lega kerana dapat kembali ke set penggambaran.

Katanya, dia bersyukur dengan kebenaran dan kelonggaran yang diberikan kerajaan buat anak seni sepertinya untuk kembali bekerja.

“Sekian lama tertangguh, akhirnya kami dapat menarik nafas lega selepas dapat berkarya semula. Sekarang saya sedang menjalani penggambaran drama 26 episod, Cinta Yang Tertangguh.

“Insya-Allah, drama ini akan menemui penonton seawal tahun depan. Selain itu, ada juga beberapa naskhah dan projek lain yang akan hadir nanti,” kongsinya.

Akuinya lagi, walaupun pendapatan sebelum ini sedikit terjejas kerana penggambaran tertangguh, dia bersyukur rezekinya masih dilancarkan Tuhan.

“Bab pendapatan, saya tahu ramai yang terkesan, tapi alhamdulillah Allah lancar dan permudahkan rezeki saya.

“Terjejas pendapatan dari sudut lakonan, Dia beri saya rezeki dari arah lain seperti ulasan berbayar, kempen dan tidak kurang kolaborasi pengiklanan bersama jenama-jenama besar,” ujar Firdaus menamatkan aksara kata.’

JEJAKA yang memiliki wajah tampan iras pelakon Isa Khan ini optimis dalam mengembangkan bakat dan karakter dalam lakonannya kelak.
Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI