PETALING JAYA – Malaysia mungkin tidak mampu menundukkan Brazil dalam sukan nombor satu dunia, bola sepak, namun kita adalah juara dunia dalam penjualan rokok seludup sekali gus meletakkan negara samba itu di tangga kedua.
Perkara itu didedahkan pelawak, Harith Iskander atau nama lengkapnya, Harith Iskander Musa, 55, menerusi satu entri video dalam Instagram.
“Adakah kalian tahu bahawa kita adalah juara dunia? Malaysia berada di ranking nombor satu di dunia dalam penjualan rokok seludup.
“Kira-kira 60 peratus rokok seludup di negara ini yang bermakna enam daripada 10 kotak rokok dijual di Malaysia adalah rokok seludup.
“Adakah kalian tahu negara mana yang berada di tangga kedua? Brazil dengan peratusan rokok seludup sebanyak 50 peratus,” kata Harith.
Kata suami kepada Jezamine Lim itu, data berkenaan diperoleh daripada satu laporan yang dijalankan Oxford Economics berjudul ‘The Economics of the Illicit Tobacco Trade in Malaysia’.
“Kita nombor satu. Kita mungkin tak boleh tewaskan Brazil dalam sukan bola sepak tapi apabila kita jumpa orang Brazil, kita boleh cakap ‘brother, illegal cigarettes champion brother’, ” ujarnya dengan nada sarkastik dalam muat naik video berkenaan.
Dalam pada itu kata Harith, perkara yang menyebabkan situasi itu berlaku di negara ini adalah disebabkan permintaan yang tinggi.
“Disebabkan adanya permintaan (demand), maka adanya pembekalan (supply). Jadi, disebabkan itu kita juara dunia, sekurang-kurangnya dalam penjualan rokok seludup.
“Adakah kita bangga dengan semua ini? Perdebatan bergantung pada kalian semua,” katanya seraya turut menyenaraikan perkara lain yang menyebabkan perkembangan tidak sihat yang menjurus ke arah perniagaan tidak sah iaitu black market (pasar gelap). – K! ONLINE