GUA MUSANG – Pengusaha kawasan rehat dan rawat (R&R) Hentian Gua Musang di sini menarik nafas lega selepas kerajaan membenarkan kembali aktiviti rentas negeri bermula semalam.
Pengerusi Eksekutif Hentian Gua Musang, Che Ibrahim Che Ismail berkata, mereka kembali beroperasi selepas sempadan negeri dibuka semula.
Katanya, sebelum ini suasana lengang di kawasan Hentian Gua Musang kerana tidak dapat menerima kehadiran pengguna jalan raya.
“Sebelum ini, hanya penduduk tempatan sahaja yang hadir, namun bilangannya tidak ramai meskipun kerajaan sudah membenarkan dine-in di premis.
“Situasi itu memberikan cabaran apabila banyak premis kedai makanan di hentian itu terpaksa ditutup kerana pelanggan tidak ramai,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Hentian Gua Musang di sini hari ini.
Che Ibrahim berkata, seramai 80 daripada 150 pekerjanya yang sebahagian besarnya direhatkan sebelum ini akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) juga sudah kembali dipanggil untuk bekerja semula. -K! ONLINE