SHAH ALAM – Seramai 2,000 peserta termasuk dari golongan B40 disasarkan terlibat dalam program penanaman cendawan tiram berkelompok terbesar di negara ini pada tanah seluas kira-kira 12.1 hektar.
Program tersebut adalah usahasama Yayasan Hijrah Selangor dan Kumpulan Merong dalam menambah pendapatan tambahan kepada golongan B40, fakir dan miskin, graduan universiti belum bekerja serta mereka yang kehilangan pekerjaan.
Ketua Pegawai Operasi Program, Azwan Anuar berkata, kesemua tapak tersebut melibatkan enam daerah iaitu Kuala Selangor, Kuala Langat, Sepang, Hulu Langat, Petaling, Gombak dan Hulu Selangor.
Katanya, peserta yang layak akan diberikan diberikan pinjaman mudah sebanyak RM26,000 menerusi skim pinjaman i-Agro Hijrah.
“Peserta juga tidak perlu bimbang kerana skim jaminan belian ditawarkan dengan hasil cendawan setiap peserta akan dijamin belian oleh syarikat terlibat.
“Justeru, peserta juga tidak perlu mencari pasaran atau jualan sendiri seterusnya memastikan pendapatan mereka terjamin,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya lagi, pinjaman RM26,000 adalah merangkumi penyediaan rumah cendawan bersaiz 20′ X 20′ selain penyediaan infrastruktur, pembersihan tapak, kerja tanah, 6,000 bongkah pemula, sistem kawalan suhu dan kelembapan automatik serta bekalan air dan elektrik yang menggunakan tenaga solar sepenuhnya.
Tambah beliau, peserta juga diberikan manfaat lain termasuk khidmat nasihat serta pengawasan tanaman cendawan.
“Peluang itu terbuka kepada mereka yang berumur 18 hingga 65 tahun,pemastautin dan pengundi di Selangor.
“Secara umumnya, penanaman ini mampu menjana pendapatan tambahan RM1,300 – RM1,500 sebulan,” jelasnya.
Justeru, mereka yang berminat boleh melayari www.bit.ly/mohonprogram. -K!ONLINE