PETALING JAYA – Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris mengakui sedikit tersentuh apabila ‘lamarannya’ untuk berkolaborasi dengan beberapa nama artis ditolak atas alasan tertentu.
Noraniza atau lebih mesra disapa Kak Ani berkata, dia pernah berhasrat untuk bekerjasama dengan beberapa nama artis yang dikenali hari ini untuk menghasilkan single duet, namun cadangan tersebut ditolak oleh artis terbabit.
“Ada beberapa nama artis yang pernah saya ajukan cadangan untuk bekerjasama, tetapi ditolak. Tapi menolak dengan cara baik.
“Saya cuma bersangka baik walaupun sedikit tersentuh. Tidak mengapa sebab mungkin mereka punya perancangan sendiri. Saya pun sedar diri siapalah saya,” katanya ketika ditemui di Majlis Menandatangani Perjanjian MOU antara Noraniza Idris Venture Sdn. Bhd. Dengan C2JOY di Pearl Hall, Level 4, Perdana Kuala Lumpur City Centre semalam.
Dalam pada itu, pelantun lagu Awallah Dondang itu berkata, dia tidak pernah akan serik kerana menganggap perkara yang dialaminya itu (ditolak untuk bekerjasama) sebenarnya perkara biasa dan tidak ada isu yang perlu diperbesarkan.
“Saya tak rasa kecil hati pun, cuma sedikit tersentuh,” ujarnya.
Sementara itu, Noraniza atau nama lengkapnya Nor Aniza Idris , 53, mendedahkan bahawa dia kini dalam perancangan untuk menggabungkan artis-artis Irama Malaysia di bawah satu bumbung sebuah pertubuhan yang bakal diumumkan nanti.
Ujarnya, pertubuhan yang dirancang itu kini dalam proses pendaftaran dan masih menunggu kelulusan Jabatan Pertubuhan Pendaftaran.
“Saya kini sedang menghimpunkan artis-artis Irama Malaysia yang mempunyai sekurang-kurangnya sebuah single berkonsepkan Irama Malaysia untuk bergerak di bawah satu pertubuhan.
“Sudah sampai masanya artis-artis Irama Malaysia ini di satukan dalam satu bumbung pertubuhan dan berkongsi kesungguhan untuk bangkitkan Irama Malaysia dengan sepenuh hati,” jelasnya. – K! ONLINE