fbpx

3 mayat ditemui di celah pokok bakau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota bomba mengangkat salah satu mayat lelaki yang ditemui mati lemas dalam kejadian di Pantai Rambah, Pontian, Johor hari ini. - FOTO: IHSAN BOMBA

PONTIAN – Tiga mayat lelaki warganegara asing ditemui mati lemas apabila bot yang dinaiki dipercayai dipukul ribut di Pantai Rambah di sini awal pagi hari ini.

Ketiga-tiga mereka dikatakan cuba menyusup masuk secara haram namun malang apabila bot mereka karam ketika menghampiri kawasan pantai Rambah.

Mayat mereka hanya ditemui oleh penduduk kampung yang keluar untuk memancing apabila melihat sebuah bot karam lalu menghubungi pihak berkuasa petang ini.

Menurut Komander Operasi, Balai Bomba dan Penyelamat Pontian Baru, Penolong Penguasa Bomba Mahadir Mamat, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 5.41 petang sebelum menghantar sebuah jentera FRT dan sebuah EMRS bersama tujuh orang anggota.

Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, Pasukan Keluaran Operasi (PKO) mendapati terdapat tiga mayat lelaki ditemui mati lemas di pantai tersebut.

“PKO dengan menggunakan Pakaian Perlindungan Diri (PPE) mengeluarkan mayat mangsa yang berada di celah-celah pokok bakau dengan kedudukan mereka berada 50 meter antara satu sama lain.

“Mayat-mayat mereka yang berusia 30-an telah diserahkan kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk tindakan selanjutnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini.

Tambah Mahadir yang juga Ketua Balai, Balai Bomba dan Penyelamat Pontian Baru, operasi telah ditamatkan pada pukul 7.15 malam. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI