PASIR PUTEH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan menahan enam nelayan warga Vietnam yang menaiki sebuah bot ketika mereka sedang menangguk gamat di lokasi 73 kilometer dari Kuala Tok Bali di sini kelmarin.
Pengarah APMM Kelantan, Kepten Maritim Syed Nor Adli Syed Ab. Rahman berkata, pihaknya telah menahan bot itu pada pukul 6.30 petang ketika menjalankan Op Naga Barat dan Op Damai di perairan negeri ini.
Menurutnya, bagaimanapun, bot berkenaan cuba meloloskan diri daripada pemeriksaan pihak berkuasa dengan memecut laju ke sempadan perairan Thailand, namun berjaya ditahan kira-kira 30 minit kemudian.
“Pemeriksaan awal mendapati, enam nelayan asing yang berusia antara 23 hingga 50 tahun itu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
“Tekong bot itu juga gagal mempamerkan dokumen dan permit kebenaran melakukan aktiviti perikanan di perairan negara,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Menurut Syed Nor Adli, nilai rampasan dianggarkan bernilai RM350,000 termasuk bot, tangkapan gamat sebanyak 40 kilogram, 1,200 liter minyak diesel dan peralatan menangguk gamat.
Tambahnya, kesemua nelayan warga Vietnam itu dibawa ke jeti APMM Kelantan di sini dan kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1) (a) Akta Perikanan 1985 dan Seksyen 16 (3) akta yang sama. – K! ONLINE