JAKARTA – Sebuah klip video di TikTok menjadi tular kerana memaparkan kaedah unik sekumpulan rakan baik yang menulis kertas cadangan semata-mata untuk meminta izin suami salah seorang daripada mereka untuk keluar berkelah, lapor laman berita Suara.com semalam.
Menerusi video yang dikongsikan oleh akaun @calonbinisolehot, kertas cadangan itu ditunjukkan kepada suami salah seorang daripada kumpulan rakan baik itu yang dikatakan bersikap terlebih melindungi.
“Apabila rakan memiliki suami yang terlebih melindungi, ini yang kami lakukan,” kata keterangan dalam video itu.
Kertas kerja bertajuk ‘Permohonan Keizinan Berkelah’ itu mengandungi enam muka surat yang dimulakan dengan definisi dan tujuan, profil pengajak hingga ucapan penghargaan.
Turut disertakan adalah dokumen sokongan iaitu sijil vaksinasi Covid-19.
Hasil daripada kerja keras tersebut, rakan mereka diberi keizinan oleh suaminya untuk menyertai aktiviti perkelahan itu.
Video tersebut menjadi perhatian ramai dengan pelbagai komen diberikan oleh netizen.
“Rakan-rakan yang hebat kerana berani berjuang demi sahabat,” kata seorang netizen. – Agensi