Platform PKS
PETALING JAYA – Siapa sangka sehari selepas produk keluaran syarikat Harmony Health Sdn. Bhd. (Harmony Health) yang sudah lengkap dengan pelan pemasaran dan promosi berada di pasaran, terpaksa pula berdepan dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada suku pertama tahun 2020.
Pengasas syarikat, Datuk Masrul Mustapha, 47, melihat ini sebagai satu cabaran besar yang perlu dihadapinya dengan pemikiran positif demi meneruskan kelangsungan perniagaan baharunya itu.
Dalam tempoh sukar tersebut, beliau terus menyusun strategi untuk membolehkan produk keluarannya terus mendapat tempat di pasaran.
Bagi usahawan yang kurang daya tahan, modal dan juga kekuatan, empayar yang dibina pasti lumpuh tetapi Harmony Health tidak menjadikan ia sebagai alasan untuk turut ‘berehat’ buat sementara waktu sehingga ekonomi kembali pulih, sebaliknya pemanduan ke hadapan tetap diteruskan.
Memilih produk Black Garlic berasaskan bawang hitam sebagai produk sulungnya ternyata bertepatan dengan keadaan semasa kerana ia antara produk yang menjadi tumpuan masyarakat untuk membantu meningkatkan tahap kesihatan ramai yang terjejas dengan pelbagai penyakit serius.
Anak kelahiran Bachok, Kelantan itu turut mencuba dan mengamalkan produk Black Garlic terlebih dahulu sebelum berkeyakinan menjadi ‘duta’ mempromosikan produk serta menawarkan pengalaman terbaik kepada pelanggan di pasaran.
Produk berkenaan asalnya adalah daripada bawang putih tunggal yang menjalani proses fermentasi mengikut kaedah dan tempoh tertentu bagi menukarkannya menjadi warna hitam yang padat dengan khasiat tinggi.
Bawang hitam yang memiliki tinggi kandungan antioksida dapat membantu menguatkan imuniti tubuh badan.
Tidak hairanlah sekiranya bawang hitam ini terkenal sejak dahulu kala dan dijadikan amalan oleh Maharaja Korea, Jepun dan China untuk dijadikan sebagai bahan penambah tenaga dan awet muda.
Sebelum serius dalam bidang peruncitan ini, Masrul lebih banyak tertumpu dalam bidang perniagaan berkaitan penyediaan perkhidmatan kepada agensi kerajaan dan swasta, perundingan, pembinaan serta komputer sejak berumur 21 tahun lagi.
Pengalaman luas dalam bidang perniagaan telah meningkatkan keyakinannya untuk berjaya dalam bidang peruncitan meskipun terpaksa berdepan pelbagai perkara berkaitan PKP termasuk sekatan ekonomi sepenuhnya sebelum ini.
“Jika dahulu, saya memiliki ruang dan peluang yang luas dalam melaksanakan kerja harian, waktu kerja juga agak fleksibel tetapi apabila kini berada dalam bidang peruncitan, saya tiada masa untuk bercuti.
“Kami perlu sentiasa berkomunikasi dengan pelbagai pihak untuk memastikan jualan berada dalam keadaan yang baik serta pembekalan produk kepada pelanggan turut berjalan lancar.
“Kita juga tidak boleh ketinggalan daripada peredaran pantas perkembangan teknologi digital, e-dagang dan platform media sosial untuk melancarkan lagi pelan promosi dan pengiklanan kepada pelanggan di seluruh negara,” katanya semasa temu bual secara maya baru-baru ini.
Mengulas mengenai Black Garlic, Masrul menerangkan, bawang putih tunggal yang diimport dari negara jiran itu terdiri daripada jenis premium.
Produk tersebut perlu menjalani proses fermentasi selama kira-kira 90 hari melalui kaedah khusus bagi menghasilkan produk bawang hitam berkualiti tinggi yang dijual pada harga RM150 untuk dua botol dalam tempoh promosi terhad.
Rasanya yang sedap tanpa terganggu dengan rasa pahit dan bau bawang yang tidak menyenangkan itu sesuai diamalkan pengguna daripada pelbagai peringkat umur.
Tambah beliau, proses transaksi penempahan dan pembelian produk tersebut juga akan diuruskan oleh kira-kira 30 eksekutif jualannya yang beroperasi di ibu pejabat dan kini membuka peluang kepada sesiapa sahaja yang sedang mencari pekerjaan untuk menyertai syarikat.
“Kami faham peritnya bertahan dan mencari rezeki di kala pandemik ini. Sehubungan itu, kami mahu berkongsi rezeki bersama mereka,” jelasnya.
Tambah beliau, jualan produk sehingga kini sangat menggalakkan dan syarikat berkeyakinan bahawa kadar jualan terus bertambah sekali ganda pada tahun depan,” jelasnya.
Melengkapi produk sedia ada, Harmony Health turut melancarkan produk baharunya iaitu Moonlight Tea yang mana ia diperkenalkan di pasaran bagi membantu dari aspek kesihatan.
Produk yang telah menjalani proses kajian dan pembangunan (R&D) selama enam bulan itu telah dilancarkan dengan harga tawaran RM57.50 sekotak.
Selain itu, syarikat turut memperkenalkan Moonlight Berries iaitu sejenis minuman kesihatan yang membantu meningkatkan kesihatan usus perut, membantu meningkatkan kesihatan tulang dan gigi serta merawat tumit kaki pecah.
Ditanya mengenai perancangan syarikat tersebut bagi tahun depan, Masrul menerangkan, Harmony Health sedang menjalankan R&D terhadap produk baharu berasaskan pemakanan sunnah yang sememangnya memberi manfaat kepada pengamalnya.
Beliau berkeyakinan ia bakal mendapat sambutan yang baik kerana masyarakat kini semakin peka terhadap penjagaan kesihatan bagi menghadapi krisis kesihatan masa depan.