GUA MUSANG – Permintaan tiket bas ekspres meningkat lebih 15 peratus susulan kebenaran merentas negeri bagi individu yang lengkap vaksinasi bermula hari ini.
Pengerusi Eksekutif Konsortium E-Mutiara Berhad (E-Mutiara), Che Ibrahim Che Ismail berkata, sambutan hangat diterima penduduk di luar Kelantan terutamanya di kawasan Lembah Klang ke Kota Bharu.
Katanya, beliau menjangkakan pembelian tiket akan meningkat sehingga melebihi 50 peratus dalam tempoh masa beberapa hari lagi.
“Pengumuman kebenaran merentas negeri memberi kelegaan kepada kami sebagai pengusaha bas kerana lebih setahun tidak dapat beroperasi seperti biasa sehingga pendapatan terjejas teruk.
“Bagi penggunaan bas Konsortium E-Mutiara untuk perjalanan pula, hanya 25 buah bas daripada 80 buah yang beroperasi setiap hari dan bilangan itu masih sama seperti sebelum ini,” katanya ketika ditemui pemberita di Hentian Gua Musang di sini hari ini.
Menurut Che Ibrahim, pihaknya juga dalam proses membaik pulih bas sebagai persediaan sekiranya berlaku permintaan pengguna.
Ujarnya, kira-kira 90 peratus daripada 200 pemandu bas ekspres E-Mutiara sudah lengkap divaksinasi dan seramai 100 pemandu sudah dipanggil kembali bekerja setakat ini. – K! ONLINE