KUALA SELANGOR – Kerajaan Selangor memperuntukkan RM80 juta bagi membantu usahawan yang mahu memulakan perniagaan ketika musim pandemik Covid-19 tahun ini.
Bantuan itu meliputi pelbagai jenis perniagaan terutama industri kecil dan sederhana (IKS), perkhidmatan, pembuatan dan mekanikal.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Perumahan, Kesejahteraan Bandar dan Pembangunan Usahawan Selangor, Rodziah Ismail berkata, bantuan meliputi modal dan peralatan itu bertujuan membantu usahawan mengembangkan lagi perniagaan masing-masing di negeri ini.
“Kita setakat ini sudah membantu 8,000 individu termasuk 2,000 usahawan menerusi Program Pembangunan Usahawan India Selangor (SITHAM).
“Bantuan keseluruhan berjumlah RM80 juta akan disalurkan sepenuhnya menjelang hujung tahun ini biarpun pelaksanaan itu tertangguh akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP),” katanya selepas majlis penyerahan Geran Peralatan SITHAM Yayasan Hijrah Selangor di Bestari Jaya di di sini, hari ini.
Jelas Rodziah, kerajaan negeri turut meluluskan penambahan jumlah pinjaman maksimum kepada peserta Hijrah daripada RM50,000 kepada RM100,000.-K! ONLINE