PELUMBA Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Fabio Quartararo sedikit bimbang dalam usahanya merebut gelaran juara dunia Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) 2020 selepas gagal tampil cemerlang dalam dua perlumbaan di Litar Red Bull Ring, Spielberg minggu lalu.
Quartararo yang meraih dua kemenangan berturut-turut pada Grand Prix (GP) Sepanyol dan GP Andalusia gagal mengambil kesempatan menjuarai GP Austria dan GP Styria untuk mengumpul sebanyak mungkin mata susulan ketiadaan pelumba Honda Repsol, Marc Marquez.
Malangnya, pelumba muda Perancis itu sekadar menamatkan saingan di kedudukan kelapan pada GP Austria dan prestasinya semakin merudum apabila menamatkan perlumbaan di kedudukan ke-13 bagi GP Styria.
Catatan masa Quartararo pada perlumbaan tersebut jauh ketinggalan berbanding pelumba pasukan Red Bull KTM Tech 3, Miguel Oliveira yang meraih kemenangan GP Styria malam kelmarin.
Quartararo bernasib baik kerana berada di tempat teratas carta pelumba dengan 70 mata, namun mengikut situasi semasa pelumba berusia 21 tahun itu dalam radar bahaya apabila dipisahkan dua mata dengan pelumba Ducati, Andrea Dovizioso.
“Ia perlumbaan yang sukar, manakala jentera pula tidak berapa baik terutama kuasa pecutan dan beberapa lagi yang membuatkan kami sedikit ketinggalan jika dibandingkan dengan pasukan lain.
“Tentu saja kami adalah pesaing kejuaraan tetapi saya hilang keyakinan sama ada kami mampu melakukan aksi cemerlang seperti di Jerez. Bagaimanapun, saingan di Austria menyaksikan kami berdepan banyak masalah.
“Saya akui Red Bull Ring adalah litar yang sukar bagi kami tetapi tahun lalu saya mempunyai perasaan yang sangat baik dan berjaya menduduki tempat ketiga. Tahun ini sangat berbeza.
“Kami perlu lihat secara keseluruhan apa yang berlaku kerana pasukan ini berdepan masalah. Bukan sahaja berdepan masalah brek, kami juga berdepan masalah di bahagian lain. Saya harap pasukan dapat meraih sesuatu keputusan positif di Misano, Itali nanti,” katanya.
Dalam pada itu, prinsipal Petronas Yamaha SRT, Datuk Razlan Razali turut kecewa dengan keputusan tersebut selepas pasukannya berdepan kesukaran untuk menawan Litar Red Bull Ring.
“Kami tidak boleh menolak fakta bahawa kami meraih keputusan yang mengecewakan minggu ini. Kami tahu jentera Yamaha M1 akan berdepan tugas berat ketika beraksi di Litar Red Bull Ring. Kita tidak jangka berdepan banyak masalah teknikal dengan jentera itu.
“Ketika ini, pasukan masih bersemangat dan akan mencari jalan penyelesaian untuk tampil dengan hasil yang lebih baik di Misano dan Catalunya nanti,” ujarnya.