PUTRAJAYA – Semua perniagaan dalam sektor perdagangan pengedaran di bawah seliaan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak lagi memerlukan surat kebenaran beroperasi melalui Sistem Covid-19 Information Management System (CIMS).
Ia susulan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada semalam berhubung kebenaran merentas negeri di seluruh negara bagi Keluarga Malaysia yang telah menerima vaksinasi lengkap.
Menteri Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, bagaimanapun, setiap sektor masih tertakluk kepada prosedur operasi standard (SOP) Pelan Pemulihan Negara (PPN) semasa, terutama negeri-negeri di dalam PPN Fasa dua dan tiga.
Katanya, kebenaran merentas negeri ini dilihat sebagai satu lagi langkah positif kerajaan ke arah merancakkan pemulihan ekonomi negara terutama ekonomi domestik dan khususnya sektor pengedaran dan peruncitan.
“Sektor perdagangan pengedaran merupakan antara aktiviti ekonomi utama dalam negara dan telah menyumbang sebanyak 16 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) atau RM311.6 bilion nilai jualan pada suku kedua 2021.
“Sebagai makluman, sektor pengedaran dan peruncitan telah dibuka sepenuhnya, namun masih perlu mematuhi SOP dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) dalam membendung penularan Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan akhbar di sini hari ini.- K! ONLINE