PUTRAJAYA – Rakyat negara ini diingatkan agar mengamalkan sikap berhati-hati bagi memastikan kes positif Covid-19 tidak memuncak kembali.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, antara langkah tersebut adalah memakai pelitup muka dan mengamalkan penilaian kendiri Ujian, Lapor, Maklum, Kuarantin dan Dapatkan Rawatan (TRIIS).
“Apabila pergerakan rentas negeri telah dibenarkan hari ini, ingat imej ini. Kita sedang turun dari kemuncak bencana dan kesedihan.
“Pastikan tiada lagi puncak (kes Covid-19). Pakai pelitup muka, patuhi prosedur operasi standard (SOP) dan amalkan TRIIS,” ciapnya di laman Twitter hari ini.
Beliau berkongsi imej graf yang menunjukkan angka kes Covid-19 sejak 1 April 2021 yang memuncak pada awal September sebelum ia menunjukkan penurunan secara konsisten sehinggalah Ahad lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam mengumumkan kerajaan membenarkan pergerakan rentas negeri dilakukan bermula hari ini setelah kadar vaksinasi negara mencapai 90 peratus.
Beliau turut memberitahu, rakyat juga perlu mengamalkan ujian kendiri TRISS bagi memastikan proses peralihan negara ke fasa endemik berjalan lancar. – K! ONLINE