KUALA TERENGGANU – Keadaan trafik di Lebuh Raya Pantai Timur 2 (LPT2) dan jalan-jalan negeri di Terengganu masih lengang pada hari pertama pembukaan semula rentas negeri hari ini.
Begitupun, Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Terengganu, Superintendan Ismail Man menjangkakan kenderaan yang akan memasuki Terengganu melalui dijangka meningkat lebih dua kali ganda pada hujung minggu ini.
“Hasil tinjauan pada hari pertama rentas negeri pada hari ini, aliran trafik masih lancar dan tiada pertambahan luar biasa di jalan negeri atau LPT2.
“Begitupun, jumlah kenderaan dijangka akan meningkat lebih dua kali ganda pada hujung minggu ini berbanding 15,000 pada hari biasa,” katanya ketika memantau trafik di Plaza Tol Kuala Terengganu di Kampung Gemuruh di sini hari ini.
Ismail berkata, pihaknya menjangkakan beberapa daerah seperti Kuala Terengganu, Besut dan Setiu akan mengalami kesesakan mulai Jumaat ini terutama dalam kalangan pengguna yang mahu meneruskan perjalanan ke Kelantan. – K! ONLINE