fbpx

Polis cekup suspek kes pecah rumah cuba larikan diri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Oleh ROHANA MOHD NAWI

KOTA BHARU – Polis bertindak pantas apabila berjaya menahan seorang lelaki yang dipercayai terlibat dalam kes pecah sebuah rumah banglo di Ketereh di sini semalam.

Suspek lelaki berusia 25 tahun itu ditahan di perhentian bas Lembah Sireh di sini dan dipercayai cuba melarikan diri ke Kuala Lumpur selepas 7 jam polis menerima laporan daripada mangsa yang merupakan seorang guru.

Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, lelaki itu ditahan kira-kira pukul 8 malam semalam oleh sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah Kota Bharu.

Beliau berkata, hasil pemeriksaan terhadap lelaki yang berasal dari Gombak, Selangor itu membawa kepada penemuan semula wang tunai, pelbagai jenis mata wang dan barang kemas yang dianggarkan bernilai RM100,000.

“Hasil siasatan di rumah mangsa yang berusia 51 tahun mendapati, tiada sebarang kesan pecah atau umpil pada pintu dan tingkap. Rumah itu juga tidak dipasang jeriji.

“Polis menemui tujuh kesan cap jari di tempat kejadian,” katanya ketika dihubungi Kosmo! sebentar tadi.

Katanya, sebelum kejadian, mangsa bersama suaminya keluar dari rumah pada pukul 4 petang kelmarin untuk menghadiri majlis kenduri di Kuala Krai sebelum pulang kira-kira lima jam kemudian.

Abdul Rahim berkata, bagaimanapun, mangsa mendapati bekas simpanan barang kemasnya telah berubah tempat kira-kira pukul 5.15 pagi semalam.

“Mangsa kemudian membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu berhubung kejadian itu pada pukul 1 petang semalam.

“Hasil siasatan mendopati suspek mempunyai lima rekod jenayah dan dadah,” katanya.

Kes disiasat bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI