GUA MUSANG – Pergerakan kenderaan memasuki ke negeri Kelantan melalui jalan Kuala Lipis-Gua Musang di sini lancar pada hari pertama kebenaran rentas negeri diberikan kepada penerima vaksin Covid-19.
Tinjauan Kosmo! mendapati aliran trafik melalui Gua Musang terkawal tanpa kesesakan kenderaan yang luar biasa.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, pihaknya masih mengekalkan dua sekatan jalan raya (SJR) Ops Benteng di laluan masuk ke negeri ini.
Katanya, dua sekatan jalan raya itu di laluan Kuala Lipis-Gua Musang di Kampung Tanah Putih dan Gua Musang-Lojing di Kampung Kundur.
“SJR itu tiada kena mengena dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan, tetapi ia dijalankan sebagai pencegahan jenayah serta penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Kita dapati kenderaan melalui sekatan jalan raya di Kampung Tanah Putih di sini sama seperti biasa dan tidak menunjukkan sebarang penambahan sejak semalam,” katanya ketika meninjau aliran trafik memasuki negeri ini di Kilometer 7, Jalan Gua Musang-Kuala Lipis di SJR Kampung Tanah Putih di sini hari ini.-K! ONLINE