KINABATANGAN – Seekor gajah Pigmi Borneo ditemui mati di kawasan Sanktuari Hidupan Liar Hilir Kinabatangan berhampiran Sungai Resang Sukau pada Sabtu lalu.
Dalam kejadian kira-kira 8.30 pagi itu, bangkai gajah betina berusia 25 tahun berkenaan ditemui sekumpulan penyelidik sebelum membuat laporan polis.
Ketua Polis Daerah Kinabatangan, Superintendan Dzulbaharin Ismail berkata, sepasukan anggota polis dan kakitangan Jabatan Hidupan Liar (JHL) serta Unit Veterinar Sepilok dihantar ke lokasi kejadian untuk menjalankan siasatan.
“Lokasi penemuan terletak kira-kira 66 kilometer dari Pekan Kinabatangan. Pemeriksaan di tempat kejadian mendapati bangkai terbabit adalah seekor gajah betina yang dijangkakan berusia 25 tahun.
“Bagaimanapun, pemeriksaan fizikal mendapati tiada sebarang organ gajah itu yang hilang dan hasil bedah siasat menunjukkan gajah berkenaan dipercayai mati ekoran keradangan teruk pada beberapa organ dalam seperti usus dan perut sehingga mengakibatkan kegagalan organ berfungsi,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.-K! ONLINE