fbpx

Dahulu rawat pesakit, kini tauke keropok disegani

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NOR MIZAN nekad meninggalkan kerjaya sebagai jururawat sebelum terjun menceburi bidang bisnes hingga kini.

KEPUTUSAN nekadnya untuk berhenti kerja sebagai jururawat sekitar 20 tahun lalu langsung tidak pernah dikesalkan. 

Sempat menabur bakti merawat pesakit di salah sebuah hospital swasta selama dua tahun cukup memberikan wanita cekal berusia 38 tahun ini untuk mula meneroka bidang baharu. 

Minat mendalam dalam dunia perniagaan makanan seperti yang dijalankan keluarganya betul-betul membuatkan anak jati kelahiran Melor, Kota Bharu ini merubah 360 darjah hidupnya.

Berkat kesabaran mencuba menjalankan pelbagai cabang dan jenis perniagaan membuatkan ibu kepada dua cahaya mata ini langsung tidak pernah putus asa malah terus bangkit daripada kegagalan lepas. 

Lebih manis, perniagaan menggunakan jenama Keropok Viral Tokma yang diceburi Datuk Nor Mizan Ariffin sejak Disember 2018 lalu turut menjadi kebanggaan selain dapat berkongsi rezeki kepada ramai. 

1.  Difahamkan sebelum melibatkan diri dalam perniagaan, saudari pernah bertugas sebagai seorang jururawat? 

Ya betul sebelum melibatkan diri dalam perniagaan secara serius, saya pernah bertugas sebagai seorang jururawat selama dua tahun. 

Waktu yang cukup terikat dan tidak bebas membuatkan saya mula terfikir untuk mencari kerja lain yang lebih fleksibel masanya.

Pada masa sama, saya memang minat dalam perniagaan dan keluarga juga ada jalankan bisnes makanan ringan berupa keropok.

Jadi selepas saya berhenti kerja, saya mula perlahan-lahan menjalankan pelbagai jenis perniagaan seperti menjadi ejen dan stokis kepada banyak jenama kosmetik. 

2.  Apa yang mendorong saudari untuk meninggalkan kerjaya mulia tersebut seterusnya memilih untuk terjun dalam arena perniagaan secara serius?

Jujur kata saya memang minat berniaga dan suka meneroka benda-benda baharu melibatkan perniagaan. 

Jadi semasa saya masih bekerja sebagai jururawat, saya ada terfikir untuk terjun dalam bidang perniagaan. 

Bermacam-macam jenis perniagaan saya lakukan. Ada yang berkembang dan berjaya, tidak kurang juga yang kencundang di tengah jalan. 

Bermula dengan perniagaan kedai makan, mengusahakan cendawan tiram, membela dan menjual ayam kampung dan banyak lagi semuanya pernah saya lalui.

Hinggalah pada penghujung tahun 2018, saya mula terdetik untuk bantu kembangkan dan promosikan keropok yang diusahakan ibu saya, Rabaayah Saidin, 65.

Hanya dengan niat secara suka-suka, saya tidak pernah menyangka sambutan yang diterima lebih daripada apa yang saya jangkakan.

Bermula dari situlah, saya dan keluarga mula serius membina jenama Tokma yang diambil daripada nama panggilan ibu saya sendiri hinggalah ke hari ini. 

3.  Kenapa memilih segmen perniagaan berasaskan makanan sebagai keutamaan? 

Kenapa saya memilih segmen perniagaan berasaskan makanan jawapannya sudah tentu saya juga seorang ‘hantu’ keropok. 

Lagipun saya mahukan satu jenis perniagaan yang boleh dijalankan secara jangka masa panjang dan boleh dinikmati semua lapisan manusia tanpa mengira umur. 

Jadi segmen makanan yang saya nampak paling sesuai dan berdaya saing untuk dibangunkan sebab semua orang akan makan kerana ia menjadi satu perkara asas dalam kehidupan. 

Jadi sampai sekarang saya memang fokuskan bisnes keropok ini dan alhamdulillah ia berkembang dengan begitu baik dan sudah berada di seluruh pelosok negeri termasuk Sabah dan Sarawak. 

Alhamdulillah, selain keropok, di bawah jenama Tokma, kami juga mengeluarkan barisan produk lain seperti sos, kicap, budu, popia dan beberapa lagi. 

SOKONGAN dan dorongan padu ejen serta stokis membantu menaikkan jenama Tokma hingga ke hari ini.

4.  Setiap apa juga perniagaan yang diusahakan pasti tidak terlepas daripada cabaran dan dugaan ditempuhi. Boleh saudari kongsikan?

Ya setiap perniagaan dan apa sahaja kerja yang kita lakukan pasti ada cabaran tersendiri.

Macam kami sendiri, cabaran paling utama adalah dari segi sumber bahan mentah iaitu ikan terutama ketika musim pandemik yang melanda seluruh dunia ketika ini. 

Kami amat bergantung kepada nelayan dan pencari hasil laut untuk membekalkan ikan segar kepada kami sebelum diproses menjadi keropok di kilang di Besut, Terengganu. 

Tetapi selepas belajar daripada apa yang berlaku, kami lantas mengambil langkah untuk menyimpan stok sebanyak mungkin denganm kualiti dan kesegaran yang dijaga rapi.

Cabaran lain, dek permintaan dua kali ganda yang diterima, kami terpaksa membuka dua buah lagi kilang di Kota Bharu bagi menampung proses pengeluaran keropok dan beberapa produk lain. 

SUAMI, Datuk Yunus Mat sebagai sumber penyuntik semangat buat Nor Mizan.

5.  Perancangan perniagaan saudari untuk lima ke sepuluh tahun akan datang? 

Insya-Allah, selain membuka dua buah lagi kilang, kami turut menyasarkan kepada pertambahan ejen dan stokis yang berminat.

Uniknya perniagaan di bawah Tokma, walaupun tidak menjual produk kosmetik, kami tetap menggunakan ejen dan stokis bagi menarik lebih ramai yang berminat untuk mendapatkan pendapatan tambahan. 

Bagi 2022 nanti, kami sasarkan penambahan ejen kepada 5,000 hingga 10,000 orang berbanding 2,000 pada masa kini. 

Pada masa sama, kami juga bercadang untuk menambah beberapa barisan produk lain di bawah jenama Tokma seperti barangan kemas dan kaftan batik. 

Kami juga optimis untuk memperkasakan lagi pasaran Tokma yang sudah memasuki Singapura, Brunei dan Thailand selain merancang untuk menembusi beberapa negara lain kelak.

Untuk pendaftaran sebagai ejen atau berminat bagi mendapatkan barisan produk keluaran Tokma, sila layari laman sesawang www.keropokviraltokma.com. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI