BENTONG – Sekatan Jalan Raya (SJR) Plaza Tol Bentong yang menjadi antara pintu masuk utama ke pantai timur khususnya dari Lembah Kelang yang ditutup tengah malam semalam menjadi sejarah bermakna khususnya buat petugas barisan hadapan di situ.
Penutupan pada pukul 11.59 malam semalam yang turut disaksikan oleh Pegawai Daerah, Datuk Mohd Zulkifli Hashim dan Ketua Penerangan UMNO Bentong, Datuk Amizar Abu Adam dilakukan dalam suasana bercampur baur oleh petugas barisan hadapan yang telah ‘berkampung’ di situ kira-kira 10 bulan.
SJR yang menjadi antara sejarah negara dalam berhadapan pandemik Covid-19 itu ditutup susulan kebenaran rentas negeri yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd. Kahar berkata, sepanjang 265 hari penugasan sejak dibuka pada 12 Januari lalu menyaksikan lebih dua juta kenderaan diperiksa dengan purata 7,624 buah kenderaan sehari.
“SJR ini akan menjadi ingatan kepada kita barisan hadapan tidak kira sama ada polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan lain-lain yang membantu menjadikan satu sejarah dan kita harap penularan Covid-19 terkawal.
“Selepas sahaja sekatan jalan raya ini ditamatkan penguatkuasaan diteruskan khususnya di tempat yang menjadi tumpuan pelancong yang akan diperhebat pemantauan dan kita mengharapkan orang ramai terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan,”katanya selepas meninjau penutupan SJR Plaza Tol Bentong di sini malam semalam.
Menurut Zaiham pada malam semalam, satu lagi SJR bersempadan dengan Negeri Sembilan di Manchis dekat sini turut ditutup manakala SJR berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Tinggi di sini telah ditutup pada 4 Oktober lalu.
Dalam pada itu, Zaiham berkata, sepanjang penugasan di SJR Plaza Tol Bentong sebanyak 180 kompaun telah dikeluarkan atas pelbagai kesalahan manakala purata 10 kenderaan diarahkan berpatah balik setiap hari.
Katanya, antara kejayaan terbesar dalam SJR tersebut adalah rampasan daun ketum sebanyak 1,505 kilogram yang menjadi antara rampasan ketum terbesar di Pahang pada 9 Oktober lalu.
“Di sini adalah laluan pintu masuk utama tentulah jumlah kenderaan tinggi, pemeriksaan dilakukan dengan teliti tidak boleh sambil lewa sebab kita bimbang nanti mereka yang tidak sepatutnya merentas tanpa kebenaran akan bolos.
“Sepanjang penugasan, petugas kita memberikan komitmen 100 peratus walau apa keadaan sekali pun sebab itu tugas dan tanggungjawab kita, walaupun letih dan berhadapan cuaca panas namun ia dilaksanakan dengan baik,”ujarnya.-K! ONLINE