fbpx

SJR keluar George Town tutup tirai

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Petugas SJR Lebuh Raya Tun Dr Lim Chong Eu di George Town mengemaskan peralatan SJR sebelum pukul 12 tengah malam.

GEORGE TOWN – Sekatan jalan raya (SJR) keluar dari bahagian pulau di Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu menghala Jambatan Pulau Pinang di sini melabuhkan tirai tepat pukul 12 tengah malam ini.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, ia sejajar dengan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini berhubung kebenaran merentas negeri bermula esok.

“SJR ini kita dirikan genap lima bulan bermula 10 Mei lalu ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 dan tepat pukul 11.59 malam ini kelima-lima SJR di daerah Timur Laut akan ditutup secara rasmi.

“Walaupun SJR ditutup, penguatkuasaan kita tidak habis di sini dan kita akan melipatgandakan pemantauan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi membendung penularan Covid-19,” katanya kepada pemberita ketika meninjau SJR Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu di sini sebentar tadi.

Soffian berkata, penugasan SJR bagi mengawal pergerakan orang ramai di antara daerah menuntut pengorbanan besar anggota yang bertugas selain terpaksa berhujan dan berpanas.

“Bulan puasa, Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha tahun ini kita meraikan di SJR serta baru-baru ini masalah elektrik yang berlaku (di Jambatan Pulau Pinang) menuntut kita bertugas dalam gelap.

“Ada juga beberapa insiden peralatan SJR rosak dilanggar kenderaan, namun ia tidak pernah mematahkan semangat petugas,” katanya lagi.

Sementara itu, beliau turut menzahirkan penghargaan kepada masyarakat dan orang ramai yang sentiasa menghargai petugas barisan hadapan apabila sering memberi kata-kata semangat selain ada yang menghulurkan minuman.

“Penghargaan turut diberikan kepada kesemua pihak yang terlibat termasuklah anggota polis, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela), Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Jabatan Kerja Raya (JKR) dan Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS),” katanya lagi. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI