fbpx

Tak sabar mahu jumpa ibu dan ayah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

PETALING JAYA – Kebenaran rentas negeri yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob semalam me­rupakan berita paling menggembirakan dan dinanti-nantikan oleh orang ramai terutama golo­ngan perantau.

Rata-rata mereka mengakui kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan itu adalah tepat pada masanya selepas sekian lama berkurung di dalam rumah sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 pada pertengahan Ja­nuari lalu.

Pengumuman itu juga membuktikan kerajaan mengotakan janji untuk membenarkan akti­viti rentas negeri sekiranya po­pulasi individu dewasa yang melengkapkan dos vaksin Covid-19 mencapai 90 peratus.

Menurut Afra Fardillah Zaimustapar, 38, dia berasa gembira kerana akhirnya dapat pulang menziarahi ibu bapanya di Kuala Pilah, Negeri Sembilan selepas hampir setahun tidak dapat berbuat demikian.

“Setiap hari saya bertanya khabar mereka melalui telefon, jadi apabila dibenarkan rentas negeri sudah pasti saya mahu balik kampung melepaskan rindu dengan ibu dan ayah,” katanya kepada Kosmo! di Putrajaya semalam.

Perasaan sama dikongsikan Alieff Firdaus, 30, dengan me­ngucapkan terima kasih kepada kerajaan dan akan menggunakan kebenaran itu untuk bertemu ahli keluarga dan sanak-saudara yang sudah lama terpisah sepanjang pandemik Covid-19.

“Sudah hampir setahun saya tidak balik kampung di Kluang, Johor. Memang rindu pada ke­luarga tetapi jangan lupa buat ujian pengesanan Covid-19,” katanya.

Di Shah Alam, kakitangan swasta, Khairul Idin, 27, menganggap kebenaran rentas negeri sebagai ‘kebebasan’ yang sebenar-benarnya buat dirinya.

“Kebenaran rentas negeri ini amat bermakna kerana saya tidak pulang ke kampung di Kuala Penyu, Sabah sejak pandemik melanda negara ini tahun lalu.

“Biarpun ‘bebas’, kita masih perlu terus berwaspada dan mematuhi prosedur operasi stan­dard (SOP) bagi mengekang penularan Covid-19,” katanya.

Di Johor Bahru, pekerja swasta, Norshikin Mohd. Salleh, 38, berkata, kebenaran rentas ne­geri merupakan satu perkembangan positif buat rakyat negara ini yang sudah lama dihadkan pergerakan mereka.

“Walaupun dapat rentas ne­geri, saya sekeluarga akan ambil langkah berjaga-jaga dengan tidak mengunjungi lokasi orang ramai apabila pulang ke kampung di Melaka nanti,” katanya.

Selain balik kampung, pekerja swasta, Raden Mohammad Azwan Naharudin, 29, pula bercadang merentas negeri untuk bercuti selepas sekian lama terperap di rumah.

Di Alor Setar, warga perantau di Kedah seakan-akan sudah tidak sabar lagi untuk bertemu insan tersayang termasuklah Zanuriah Mohd. Isa, 40, yang yang bercadang pulang ke Johor minggu depan selepas kali terakhir berbuat demikian pada 2019.

“Selama ini kami hanya berhubung dengan telefon. Alhamdulillah boleh berjumpa secara bersemuka selepas ini,” katanya.

Rohani Saad, 40, pula bercadang untuk pulang ke kampung di Pahang walaupun bimbang kes harian masih empat angka.

“Kita perlu bersedia untuk hidup dengan virus ini dan akan menuju fasa endemik tidak lama lagi, yang penting patuh SOP,” ujar ibu kepada tiga anak itu.

Di Pulau Pinang, penjawat awam, Ainon Rosmanira Mat Hussin, 40, hampir menitiskan air mata mendengar pengumuman tersebut selepas lama menanti untuk merentas negeri pulang ke kampung di Kelantan.-K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI