fbpx

Sabah gesa Wisma Putra bertegas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Oleh IVAN AMIRUL

KOTA KINABALU – Kerajaan negeri meminta Wisma Putra memanggil Duta Filipina di Kuala Lumpur bagi memberikan amaran keras kepada negara Filipina berhubung pelanggaran ke atas kedaulatan Sabah.

Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal berkata rakyat negeri berkenaan sudah dijanjikan keselamatan dan perlindungan semasa penubuhan Persekutuan Malaysia pada tahun 1963.

“Oleh itu, Kementerian Luar perlu mengambil tindakan tegas terhadap perkara yang disifatkan sebagai pelanggaran Kedaulatan Sabah serta provokasi tidak sepatutnya.

“Sabah adalah negeri yang berdaulat dan perkara ini sudah diselesaikan sejak sekian lama,” katanya menerusi kenyataan media hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas laporan berkaitan keputusan Jawatankuasa Hal Ehwal Luar Negara Filipina membenarkan cetakan peta Filipina meliputi kawasan 320 kilometer Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) dan Sabah di dalam passport negara itu.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Mohd. Shafie berkata, Wisma Putra tidak boleh berlembut selepas pihak berkuasa Filipina mengeluarkan pelbagai kenyataan tidak masuk akal sejak kebelakangan ini.

Menurut beliau, Sabah adalah negeri merdeka di dalam Persekutuan Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang telah diterangkan dan diterima oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

“Walau apapun yang terjadi, Filipina tidak mempunyai asas, sejarah atau lunas perundangan untuk membuat tuntutan ke atas Sabah.

“Kita amat kesal apabila Filipina bertindak bertentangan dengan semangat ASEAN serta prinsip asas saling menghormati kedaulatan, kesaksamaan, integriti wilayah masing-masing dan identiti negara bagi setiap anggota ASEAN. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI