fbpx

Polis siasat dakwaan 41 kematian guru akibat vaksin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar ciapan tular dakwaan tidak benar mengenai senarai 41 kematian guru disebabkan oleh vaksin.

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan terhadap laporan polis yang dibuat oleh Kementerian Kesihatan (KKM) berkenaan dakwaan tidak benar mengenai senarai 41 kematian guru disebabkan oleh vaksin.

Dakwaan kematian tersebut telah dimuat naik oleh pemilik akaun Twitter Khalid@Khalids semalam.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, ciapan yang dimuat naik itu mempunyai 52 ulang kicau (retweets), 1,168 quote ulang kicau dan 70 tanda suka (likes) yang mengundang pelbagai reaksi serta maklum balas warganet.

Menurutnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan (KK) kerana memfitnah, Seksyen 505 (c) KK kerana dengan niat hendak mengapikan mana-mana golongan atau kaum melakukan sesuatu kesalahan terhadap mana-mana golongan atau kaum lain dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998 iaitu penyalahgunaan tidak wajar kemudahan rangkaian atau perkhidmatan rangkaian.

“Justeru, PDRM menasihati orang ramai supaya cakna dan peka terhadap pihak-pihak yang cuba mengganggu kelancaran program vaksinasi yang sedang dilaksanakan kerajaan.

“Orang ramai juga digesa untuk menjadi pengguna media sosial yang bijak, berhemah dan tidak menggunakan platform terbabit untuk menyebarkan sebarang maklumat yang tidak dipastikan sumber kesahihanya sehingga boleh mendatangkan kegentaran awam serta menggugat keharmonian negara,” ujarnya sebentar tadi.

Jelas beliau, tindakan tegas tanpa kompromi bakal diambil terhadap mana-mana individu yang sengaja menggugat ketenteraman awam serta menggugat keharmonian negara.

Terdahulu, Kosmo! Online semalam melaporkan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar telah mengarahkan satu laporan dibuat terhadap seorang pengguna Twitter dikenali sebagai @khalids susulan penyebaran maklumat palsu berkenaan vaksin Covid-19.

“Saya telah meminta laporan dibuat terhadap @khalids kepada PDRM dan SKMM kerana menyebarkan berita palsu mengenai vaksin Covid-19. Cukuplah berbohong,” katanya.- K! ONLINE

 

Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:

MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI