fbpx

Rins bengang dengan Vinales

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RINS tidak berpuas hati dengan keputusan Vinales meneruskan perlumbaan GP Styria walaupun menyedari jenteranya mengalami kerosakan brek di Litar Red Bull Ring kelmarin. – AFP

SPIELBERG, Austria – Pelumba Suzuki Ecstar, Alex Rins tidak berpuas hati dengan tindakan pelumba Monster Energy Yamaha, Maverick Vinales yang tetap meneruskan perlumbaan meskipun menyedari jenteranya berdepan kerosakan pada Grand Prix (GP) Styria kelmarin.

Rins, 25, mempersoalkan tindakan Vinales yang sepatutnya menamatkan perlumbaan lebih awal sebelum berdepan insiden masalah brek hingga memaksanya terjun daripada jentera Yamaha M1 pada kelajuan 206 kilometer sejam.

Akibat insiden tersebut, jentera Vinales merempuh dinding keselamatan dan terbakar menyebabkan perlumbaan terpaksa dihentikan pada pusingan ke-17 di Litar Red Bull Ring itu.

“Kalau tidak salah saya, pelumba akan mendapat brek pad serta angkup (calipers) yang baharu dan lebih tahan panas selepas perlumbaan GP Austria ­berakhir sebelum ini.

“Brembo membawa brek yang lebih tahan dan besar untuk perlumbaan ini (GP Styria). Saya difahamkan hanya Joan Mir dan Vinales tidak menggunakan brek baharu ini kerana lebih selesa dengan brek lama yang lebih kecil.

“Apabila Vinales sudah tahu dia berdepan masalah brek, ke­biasaannya pelumba akan masuk ke hentian pit. Jadi saya tidak faham keputusan dia untuk tetap meneruskan pelumbaan itu semula,” kata Rins.

Mir yang merupakan rakan sepasukan Rins bersama pasukan Suzuki Ecstar berpeluang meraih kemenangan pertama dalam saingan Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) musim ini sebelum insiden Red Flag membabitkan Vinales meranapkan impian pelumba berusia 23 tahun itu.

Pelumba Sepanyol itu akhir­nya terpaksa berpuas hati sekadar menamatkan perlumbaan di kedudukan keempat pada GP Styria yang berjaya dimenangi Miguel Oliveira dari pasukan Red Bull KTM Tech3. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI