BERA – Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pembinaan Hospital Bera yang terbengkalai sejak enam tahun lalu dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun ini.
Beliau berkata selepas tiga kali bertukar kontraktor, kompleks hospital yang mempunyai 40 katil dan empat blok bangunan di tanah seluas 33 ekar itu kini siap 98 peratus.
“Hari ini saya melihat 98 peratus telah siap yang mana dari segi bangunan 100 peratus siap, mungkin dari segi kemasan terakhir dan saya dimaklumkan projek ini dijangka siap sebelum akhir Disember dan awal 2022 boleh dirasmikan.
“Penantian kita akhirnya berjaya dan saya harap ia dapat disiapkan sebelum hujung tahun ini dan tidak ada lagi isu kelewatan kerana selama ini orang Bera kalau hendak ke hospital terpaksa ke Temerloh dan yang bersempadan Negeri Sembilan ke Kuala Pilah,” katanya selepas meninjau pembinaan Hospital Bera di sini hari ini.
Yang hadir sama, Ketua Pengarah Jabatan Kerja Raya, Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar.
Menurut Ismail Sabri proses pembinaan hospital berkenaan dimulakan pada 2010 yang mana kerja pembinaan dimulakan pada 2012 sebelum terbengkalai selepas siap sebanyak 57 peratus.
Katanya, selepas kontraktor asal ditamatkan pada 2016, pihak kerajaan sekali lagi melantik kontraktor penyelamat yang hanya mampu menyiapkan sebanyak 93 peratus projek pembinaan hospital tersebut.
“Kerana ada masalah tertentu akhirnya kita lantik kontraktor ketiga pada 5 Januari 2021 dan alhamdulillah sehingga hari ini prestasi kerjanya 98 peratus,”katanya
Ujarnya, akibat pertukaran kontraktor kos projek pembinaan hospital berkenaan telah meningkat kepada RM130 juta berbanding kos permulaan RM88 juta.- K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929