PETALING JAYA- Dua orang kanak-kanak yang sedang menikmati hidangan nasi lemak teruja apabila disapa oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di Kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Lebuhraya Kajang-Seremban (Lekas) tadi.
Menerusi satu video dikongsikan sendiri oleh Perdana Menteri di laman Instagramnya, kanak-kanak tersebut dilihat sedang leka menikmati hidangan nasi lemak bersama ayah mereka di salah sebuah pondok di R&R itu.
“Ternampak dua anak kecil ini sedang makan nasi lemak bersama bapa mereka di R&R Lekas, teruja melihat telatah mereka yang comel dan petah berkata-kata,” tulisnya.
Berdasarkan video itu, Perdana Menteri dilihat menghampiri keluarga berkenaan sebelum meluangkan masa beberapa minit bagi bertanyakan khabar dan bersembang bersama kanak-kanak terbabit masing-masing berusia enam dan dua tahun.
Dalam perbualan itu, ayah kanak-kanak berkenaan menjelaskan mereka datang dari Seremban, Negeri Sembilan dan membeli nasi lemak untuk dinikmati bersama.
Ismail Sabri turut meluangkan masa bergambar bersama keluarga berkenaan sebelum beredar.
Sementara itu, rata-rata netizen turut berkongsi perasaan teruja dan menyifatkan Perdana Menteri seorang yang ‘sempoi’ serta berjiwa rakyat berikutan sentiasa melayani orang ramai walau dimana sahaja.
“Perdana Menteri macam inilah yang rakyat suka, ambil tahu masalah rakyat, saya sayang PM sekarang,” kata @tokgajahhusez.
“Turun padang selalu jumpa rakyat, syabas bapa Keluarga Malaysia,” jelas @raden_nasuha.
“Alhamdullilah, akan disayangi rakyat jika begini,” ujar @mohdtaib1954. -K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929