fbpx

Nabila Razali tak ada yang sia-sia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NABILA RAZALI

PELAYARAN hidup si pemilik nama Nabila Razali tidaklah semudah yang disangka. Gelora dan badai bersilih ganti, namun bahtera masih teguh. Tekad Nabila, datanglah apa juga cabaran, dia utuh berdiri mengutip sisa-sisa semangat bagi meneruskan kecintaan terhadap seni, nyanyian dan lakonan yang sememangnya menebal dalam dirinya.

Sebut sahaja nama Nabila Razali, mudah sahaja bermacam cerita tentang dirinya berlegar dalam fikiran.

Paling diingati ialah ketika ramai pelayar media sosial enggan memberikan walau satu peluang kepadanya selepas disifatkan ‘gagal cemerlang’ mempersembahkan lagu Peluang Kedua pada Anugerah Juara Lagu sekitar Januari lalu.

Jika ditanya rata-rata netizen hari ini, kejadian tersebut pasti masih berbekas dalam memori walaupun sudah lebih tujuh bulan berlalu.

Namun, walau jatuh terduduk sekali pun, kecintaan menebalnya terhadap dunia seni ibarat vaksin penyelamat memapah semula langkahnya untuk terus berjalan, lantas kembali berlari mengejar impian yang belum tertunai.

Meluahkan rasa hati tentang kekerapan menjadi mangsa kecaman pelayar media sosial, pemilik nama lengkap Nur Nabila Mohd. Razali itu tidak menafikan, sebagai manusia biasa seluruh jiwanya terusik mengenangkan pandangan negatif orang terhadap dirinya.

SERING dihujani kecaman dan kata-kata negatif, pelantun lagu Peluang Kedua itu tetap berterima kasih kepada netizen kerana sering mengingatkan tentang kelemahan dirinya.

Sungguh, dia terkesan, namun wanita muda yang senang dibahasakan Bella itu mencuba sehabis baik menelan semua kata-kata negatif dari sudut positif.

Ditanya antara nyanyian dan lakonan yang sering dikritik, sudah pastilah mengenai vokalnya.

“Jika baca tentang kecaman orang mengenai vokal saya memang tak akan pernah habis tetapi semua itu tak pernah patahkan semangat saya sebab nyanyian sudah menjadi sebahagian daripada diri saya.

“Bila diingat semula, memang pahit untuk ditelan, namun untuk mengalah tidak sesekali.

“Mengapa pula saya perlu berhenti menyanyi hanya kerana kritikan netizen? Ini cita-cita saya,” katanya kepada Pose.

Tuturnya, dia sentiasa cuba untuk mengelak daripada membiarkan kesakitan merajai jiwa, dia enggan terpuruk terkesan daripada setiap kata-kata negatif kerana khuatir memberi impak pada kerjayanya.

“Kalau saya dengar dan ikut apa yang orang kata, memang tak jadi apa.

“Jadi, sekarang saya akan teruskan saja hidup dan buat sehabis baik,” ujarnya aktres berusia 29 tahun itu.

MENGANGGAP semua kegagalan dan pandangan rendah orang terhadap dirinya sebagai ujian, Nabila bersyukur kerana masih diberikan jutaan peluang untuk meneruskan
cita-citanya bergelar penyanyi dan penghibur yang diyakini suatu hari nanti.

Akui penyanyi yang mula popular menerusi lagu Pematah Hati itu, walaupun dihentam dari semua arah, dia tetap berasakan semua kritikan sebagai pembakar semangat untuk bangkit melebarkan lagi sayap sebagai anak seni.

“Rasanya tanpa kecaman dan kritikan, saya pun tak akan sedar silap sendiri.

“Apabila orang perasan semua kesalahan dan ingatkan saya tentang kekurangan, itu membuatkan saya lebih bersemangat untuk jadi lebih baik.

“Jika tiada orang tegur susah juga, nanti saya rasa saya nyanyi sedap saja.

“Terima kasih pada semua yang sentiasa ambil berat mengenai saya,” katanya yang bakal melancarkan single baharu tidak lama lagi.

Bercerita mengenai perjalanan karier, kehidupan dan kerjaya pada tahun ini, Bella mengakui, semestinya tahun ini sungguh menguji.

“Ya, banyak benda yang berlaku pada tahun ini seperti kejadian AJL, pandemik, kedai ayam dirompak dan saluran YouTube digodam.

“Agak pahit tetapi saya telan juga kerana sentiasa percaya bahawa setiap kegelapan pasti ada cahaya yang Tuhan akan beri pada penghujung jalannya,” tuturnya reda.

NABILA mengakui pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan baru-baru ini memberinya kesempatan bercuti, sekali gus meluangkan lebih banyak masa bersama keluarga tercinta.

Netizen jangan cepat melatah

Dalam pada itu, penyanyi kelahiran program Akademi Fantasia musim ke-10 itu juga tidak boleh lari daripada perasaan takut memikirkan sikap sesetengah netizen. Kelantangan dan keghairahan segelintir mereka melontarkan kata-kata dalam media sosial sebenarnya satu penyakit yang boleh menjadi barah kepada masyarakat.

Perasaan takut tersebut lebih kepada nilai bahasa dan moral para pengguna media sosial tatkala melampiaskan rasa geram mereka terhadap seseorang.

“Ya, kadang-kadang takut juga tetapi saya lebih gerun dengan bahasa yang mereka gunakan ketika menulis komen.

“Selain daripada isu mengenai saya atau perkara lain, segelintir mereka terlalu cepat melatah dan memberi respons tanpa menyelidik terlebih dahulu puncanya,” katanya.

Pintanya, pengguna media sosial haruslah sentiasa bijak dan sensitif dengan perasaan sesiapa sahaja yang akan menerima komen negatif mereka.

“Berhati-hatilah dalam memilih perkataan yang tepat. Mungkin bagi mereka komen tersebut lucu tetapi sebenarnya tidak pada yang menerimanya.

“Jadilah netizen yang sentiasa peka dalam setiap pemilihan perkataan,” ujarnya yang kini sibuk di lokasi penggambaran telefilem berjudul Rombongan Cik Kiah ke AJL.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI