PETALING JAYA- Jariah al-Barakah Bank Rakyat mengambil inisiatif membiayai yuran pengajian seramai 25 pelajar Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang kehilangan ibu bapa dan penjaga akibat Covid-19 dengan kos keseluruhan tajaan hampir RM86,000.
Bank Rakyat dalam satu kenyataan berkata, inisiatif itu seiring dengan konsep Keluarga Malaysia di mana ia melambangkan keprihatinan khususnya dalam memberi galakan dan sokongan kepada mahasiswa meneruskan pengajian walaupun kehilangan tempat bergantung.
“Inisiatif itu juga adalah salah satu usaha Bank Rakyat dalam menyokong aspirasi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) dalam pelaksanaan program bantuan dengan menumpukan kumpulan sasar terjejas pandemik Covid-19,” katanya.
Terdahulu, sumbangan kepada mahasiswa terlibat disampaikan oleh Ketua Pematuhan Syariah Bank Rakyat,Mohd. Zamerey Abdul Razak kepada Naib Canselor UPSI, Profesor Datuk Dr. Md. Amin Md Taff. dalam satu majlis ringkas semalam.
Pada majlis itu juga, Mohd. Zamerey turut menyerahkan sumbangan asnaf sebanyak RM30,000 bagi membantu meringankan beban kewangan pelajar asnaf di universiti itu.
Jariah al-Barakah diperkenalkan pada tahun lalu merupakan inisiatif Bank Rakyat dan Surau Al-Barakah Bank Rakyat untuk menyediakan platform bagi warga kerja dan orang ramai menyumbang untuk membantu orang kurang berkemampuan.
Seterusnya, hasil kutipan yang diperoleh akan dilaburkan dan keuntungannya akan disalurkan untuk pembangunan sektor pendidikan, kesihatan dan pemerkasaan ekonomi masyarakat.
Mereka yang berhasrat untuk menyumbang boleh berbuat demikian dengan menggunakan medium perbankan dalam talian menerusi akaun Surau Al-Barakah, 11-0146-412-2 (Bank Rakyat) atau perkhidmatan JomPay (Biller Code: 26492). -K! ONLINE