BUKIT GANTANG – Agensi pelancongan yang mengendalikan pakej umrah diminta segera memulangkan semula wang yang telah dibayar oleh bakal umrah yang terkandas akibat pandemik Covid-19 tahun lalu.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Idris Ahmad berkata, ianya susulan prosedur operasi standard (SOP) terkini yang dikeluarkan oleh kerajaan Arab Saudi baru -baru ini.
Menurut beliau, susulan SOP tersebut yang menetapkan syarat umur 18 hingga 60 tahun menyebabkan ramai bakal umrah berusia 60 tahun ke atas yang telah mendaftar tahun lalu dan tidak dapat menunaikan ibadah umrah biarpun pembayaran telah dibuat.
“Agensi pelancoongan yang mengendalikan pakej umrah ini dinasihatkan agar lebih memahami konsep muamalat atau bertolak ansur dalam islam.
“Pembatalan itu bukan disebabkan salah bakal umrah tetapi disebabkan SOP yang telah ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi,” ujarnya ketika ditemui selepas menyampaikan bantuan kepada Sekolah Rendah Islam Bestari Darul Mulkan di Jalan Kuala Sepetang hari ini.
Mengulas lanjut kata Idris, agensi atau syarikat yang telah menerima wang bakal jemaah ini perlu segera membuat pembayaran semula selain mengambil kira keperluan bakal jemaah ini.
“Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (MOTAC) disaran untuk campurtangan dalam soal tuntutan dan tindakan sekiranya ada agensi atau syarikat yang culas atau enggan memulangkan wang.
“Ini kerana operasi syarikat pelancongan yang menawarkan pakej umrah terletak dibawah bidang kuasa mereka,” ujarnya. – K! ONLINE.