PETALING JAYA – Hong Seng Consolidated Berhad (Hong Seng) melalui anak syarikat milik penuhnya, HS Bio Sdn. Bhd. (HS Bio) telah menandatangani perjajian induk untuk memiliki kepentingan 51 peratus dalam Pow Pocket Sdn. Bhd. (Pow Pocket).
Perjanjian tersebut melibatkan pembelian ekuiti bernilai RM200 juta.
Pow Pocket adalah syarikat yang terbabit dengan aktiviti perniagaan berkaitan teknologi kesihatan yang mana ia merupakan enjin kesihatan digital berasaskan web yang didedikasikan untuk pemeriksaan, vaksinasi, dan kesihatan digital Covid-19.
Selain itu, Pow Pocket juga mengendalikan portal ImmuPlan, platform digital eksklusif untuk pelancaran vaksinasi awam dan swasta di negeri Johor di bawah bimbingan Johor Biotechnology & Biodiversity Corporation.
Pengerusi Bukan Eksekutif Hong Seng, Datuk Seri Dr. Chen Chaw Min berkata, cadangan pemerolehan ini merupakan langkah strategik untuk bekerjasama secara eksklusif dan memperkukuhkan sinergi dengan anak syarikat kesihatannya yang lain.
“Ia juga adalah sebahagian daripada inisiatif berterusan HS Bio untuk memajukan perniagaan penjagaan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam majlis pemeteraian perjanjian pemilikan tersebut semalam.
Majlis tersebut turut mengumumkan program vaksinasi swasta nasional, Immunise.
Menurut Pengarah Urusan Pow Pocket, Russell Walter Boyd, platform Immunise akan merangkumi segala-galanya iaitu dari tempahan secara dalam talian dan penjadualan vaksin, hingga pengurusan pesanan peringkat akhir, penghantaran vaksin fizikal dan rangkaian sejuk, pembayaran balik, penyesuaian dan penginvoisan, papan pemuka dan pelaporan KPI.
“Kami kini beralih dari vaksin dewasa kepada suntikan remaja dan booster iaitu bagi memudahkan permintaan berulang untuk penghantaran vaksin yang dilokalitikan dan dikhususkan.
“Kami menganggarkan bahawa dos bernilai RM10 bilion akan diperlukan pada tahun 2022 untuk menampung keperluan penduduk dewasa di Malaysia yang berumur di atas 18 tahun, remaja berusia 12 hingga 17 tahun dan pekerja asing,” jelasnya.