PETALING JAYA – Tindakan sebuah kereta melawan arus menyebabkan sebuah lori hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu jalan.
Kejadian yang dirakam oleh papan pemuka sebuah kereta itu juga nyaris menyebabkan kereta perakam berkenaan melanggar lori yang terbabas itu.
Berdasarkan klip video berdurasi 30 saat itu, kelihatan sebuah kereta berwarna putih telah melawan arus menyebabkan lori berkenaan membrek sebelum terbabas ke bahu jalan.
Tidak dapat dipastikan nasib pemandu lori berkenaan, namun bahagian depan lori terbabit telah terperosok ke dalam longkang sebelah kiri jalan.
Tidak dinyatakan lokasi kejadian tersebut dan bila ia dirakam, namun Kosmo! difahamkan kejadian itu berlaku di sekitar laluan Kuala Selangor menghala ke Sabak Bernam
Susulan perkongsian itu, rata-rata pengguna laman sosial mengecam tindakan kereta yang melawan arus berkenaan dan menggesa pemandu lori atau kenderaan lain membuat laporan kepada pihak berkuasa.
“Kesian pemandu lori, tak pasal-pasal terjunam dalam longkang, apalah nasib pemandu lori itu. Harap dia buat laporan polis selepas ini,”tulis Marjan Malijun.
Turut meninggalkan komen adalah seorang lagi pengguna dikenali sebagai Abe Yus Satar.
“Jenis pemandu yang suka lawan arus ni, elok tarik sahaja lesen supaya mereka tidak memandu dan membahayakan pengguna lain lagi, polis sila siasat kes ini,”tegasnya.-K! ONLINE
Jika anda mengalami kemurungan dan tekanan hubungi:
MHPSS di 03-29359935 atau 014-3223392
Talian Kasih 15999 / WhatsApp Talian Kasih di 019-2615999 (Bagi pelbagai bantuan aduan keganasan rumahtangga dan pelbagai lagi masalah seperti penderaan);
KSK-Care JAKIM di WhatsApp 0111-9598214
Befrienders Kuala Lumpur di talian 03-76272929