JOHOR BAHRU – Polis memburu tiga individu termasuk seorang wanita bergelar ‘Datuk Seri’ dipercayai terlibat dalam kegiatan penipuan pemalsuan dokumen Letter Of Undertaking menggunakan nama Tunku Mahkota Johor.
Pemeriksaan awal mendapati dokumen palsu itu membabitkan urusan tukaran mata wang asing mencecah sehingga AS$5 trilion (RM20.91 trilion).
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, laporan polis dibuat Ketua Unit Media, Pejabat Komunikasi Keluarga Diraja Johor berhubung perkara itu pada pukul 7 malam kelmarin.
“Pemeriksaan mendapati dokumen itu dikeluarkan dan ditandatangani oleh seorang wanita tempatan bergelar ‘Datuk Seri’ yang mendakwa mendapat mandat daripada Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
“Dokumen palsu yang didakwa mendapat mandat daripada Tunku Ismail itu adalah bagi menjalankan urusan tukaran mata wang asing Dolar Amerika kepada Ringgit Malaysia bernilai AS$200 bilion sehingga AS$5 trilion,” katanya dalam satu kenyataan di sini semalam.
“Hasil semakan melalui laman www.istiadat.gov.my mendapati penama yang bergelar ‘Datuk Seri’ itu tidak berdaftar sebagai individu yang mempunyai gelaran berkenaan.
Menurut beliau, selain ‘Datuk Seri’, pihaknya turut mengesan dua lagi lelaki yang dipercayai bersekongkol dengan wanita tersebut.
“Maklumat lanjut berhubung kes ini masih dalam siasatan,” katanya.
Mengulas lanjut, Ayob Khan memberitahu, pemeriksaan lanjut pihaknya mendapati wanita bergelar ‘Datuk Seri’ itu merupakan suspek dalam kes penipuan draf Bank of Tokyo pada tahun 2011.
“Urusan itu melibatkan penggunaan akaun Maybank atas nama seorang lelaki tempatan sementara seorang lagi lelaki dipercayai terlibat dengan bertindak sebagai proksi yang merupakan seorang peguam,” katanya.
Justeru, orang ramai dinasihatkan tidak mudah terpedaya dengan mana-mana individu kononnya mempunyai hubungan baik dengan pihak Istana Diraja Johor tanpa usul periksa bagi menggelakkan sebarang penipuan.
Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.