KUALA LUMPUR – Penyerang prolifik Terengganu FC, Dominique Da Sylva enggan berasa selesa dengan kecemerlangannya menjaringkan enam gol daripada empat perlawanan Liga Super setakat ini.
Sebaliknya, pemain berusia 31 tahun itu mahu terus memberikan prestasi terbaik agar dapat membantu Terengganu mencapai keputusan membanggakan dalam baki tujuh perlawanan selepas ini.
“Saya sendiri tak jangka dapat meraih enam gol daripada empat perlawanan kerana fokus saya cuma memberikan aksi yang terbaik apabila diturunkan bermain di atas padang.
“Tiada aksi kompetitif dalam tempoh lebih daripada empat bulan sebenarnya bukan sesuatu yang mudah. Kami sebagai satu pasukan perlu bekerja keras untuk berada pada tahap sekarang.
“Apa yang penting, kami perlu teruskan berlatih dan memberikan fokus sepenuhnya terhadap perlawanan akan datang yang saya percaya ia pastinya lebih sukar,” katanya.
‘Mesin gol’ dari Mauritania itu berjaya meledak dua gol membantu Terengganu mencatat kemenangan 2-0 ke atas Petaling Jaya (PJ) City FC pada aksi tertunda Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) kelmarin.
Da Sylva akan terus menjadi pertaruhan Terengganu menjelang aksi keempat Liga Super berdepan Sabah di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kuala Terengganu pada Sabtu ini.
Skuad bimbingan Mohd. Nafuzi Zain itu ketika ini menduduki tangga ketiga Liga Super dengan tujuh mata selepas empat perlawanan, tiga mata di belakang juara bertahan yang juga pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim. – K! ONLINE