fbpx

Perancis bangkit bukti kemampuan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HERNANDEZ (kanan) muncul wira Perancis apabila meledak gol kemenangan ketika menewaskan Belgium 3-2 awal pagi semalam. – AFP

TURIN – Perancis membuktikan mereka masih berada dalam senarai pasukan terbaik dunia apabila melayakkan diri ke perlawanan akhir Liga Negara-Negara Eropah selepas menewaskan Belgium 3-2 di Stadium Allianz awal pagi semalam.

Pada aksi separuh akhir itu, Les Bleus berdepan situasi cukup sukar apabila bermula agak perlahan sehingga ke­tinggalan 0-2 di separuh masa pertama hasil ja­ringan Yannick Carrasco dan Romelu Lukaku.

Bagaimanapun, juara Piala Dunia 2018 itu kembali memperkemaskan permainan pada separuh masa ke­dua untuk bangkit menjaringkan tiga gol me­nerusi Karim Benzema, Kylian Mbappe dan Theo Hernandez.

Jurulatih Perancis, Didier Des­champs melaungkan keyakinan Perancis masih belum hilang bisanya biarpun gagal memenangi saingan Euro 2020 apabila tersingkir di pusingan 16 pasukan terbaik selepas tewas mengejut kepada Switzerland.

“Kami disingkirkan oleh Switzerland pada Euro 2020 sebelum ini, namun Perancis masih antara pasukan terkuat.

“Kami sudah membuktikan kemampuan dengan menewaskan Belgium yang dianggap sebagai pasukan terbaik Eropah dan dunia.

“Kemenangan ini adalah sebagai amaran kepada pasukan-pasukan lain bahawa Perancis masih mampu bersaing di pentas tertinggi. Kami adalah pasukan terbaik di dunia,” kata beliau yang pernah menjulang kejua­ra­an Piala Dunia 1998.

Deschamps yang mula membimbing Perancis pada 2012 menegaskan, perlawanan itu me­rupakan aksi terbaik pernah ditampilkan skuad kendaliannya kerana berjaya bangkit daripada ketinggalan dua gol.

“Ia adalah aksi terbaik pernah saya saksikan kerana kami berdepan sebuah pasukan yang cukup berkualiti selain berjaya bangkit biarpun ketinggalan dua gol pada separuh masa pertama.

“Saya akui kami bermain bawah prestasi sebenar pada separuh masa pertama, namun semua pemain tidak mengalah apabila menunjukkan karakter masing-masing selepas waktu rehat biarpun ketinggalan,” ujar­nya.

Menerusi kemenangan itu, Pe­rancis melayakkan diri ke pentas final dan akan membuat perhitungan dengan Sepanyol pada perlawanan yang dijadualkan berlangsung di San Siro awal pagi Isnin nanti. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI